Pemilihan UMNO 'turning point' kembalikan kepercayaan - Hasni
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pemilihan UMNO yang akan berlangsung pada Sabtu ini akan menjadi 'turning point' (titik perubahan) kepada akar umbi dalam mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap parti.
Calon Naib Presiden, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, pemilihan kali ini merupakan peluang yang ada untuk menunjukkan transformasi baharu dalam kepimpinan UMNO kepada rakyat.
Menurut beliau, keputusan pemilihan parti itu juga memainkan peranan penting sekiranya mahu UMNO mempunyai peluang untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
"Kalau parti tidak menghantar satu gambaran bahawa kita sedang dalam proses melakukan perubahan, kita akan habis.
"Jangan kata tunggu Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kita tidak akan ada peluang pun untuk selamat.
"Mungkin kenyataan yang saya buat ini tidak disenangi oleh sesetengah pihak, tetapi itu lah yang saya rasakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam sesi program Sinar Live bertajuk 'UMNO: Pemilihan Janjikan Pemulihan' yang dihoskan oleh Hazwan Mokhtar menerusi platform digital Sinar Harian pada Khamis.
Dalam pada itu, mengulas mengenai keputusan pemilihan parti berhubung pencalonan bagi sayap Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO pada sesi 2023-2026, bekas Pengerusi UMNO Johor itu berkata, masih ada lagi masyarakat yang menunjukkan rasa skeptikal dan tidak yakin bahawa UMNO menunjukkan tanda-tanda untuk berubah.
"Ini kerana bila kita lihat dari segi barisan kepimpinan yang dipilih, ada yang mengatakan bahawa ada campur tangan atau ada arahan dari pihak-pihak tertentu.
"Mesej itu saya harap selepas (pemilihan pada) Sabtu ini, bila keputusan itu dicapai, saya harap ianya satu keputusan yang memberi gambaran bahawa pemilihan ini dapat berjalan dengan memberi peluang seluas-luasnya kepada 150,000 pemilih dan tidak ada campur tangan mana-mana pihak.
"Ini adalah kehendak pemimpin-pemimpin akar umbi, ahli-ahli bagaimana kepimpinan parti dan komposisinya itu perlu berlaku," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!