Burung jenjang jadi kawan baik lelaki India
NEW DELHI - Seorang lelaki India tular di media sosial dan sekali gus menjadi selebriti di kampung halamannya di Uttar Pradesh apabila dilihat 'berkawan' dengan seekor burung jenjang yang akan mengikutnya ke mana saja, lapor Oddity Central.
Mohammed Arif, 30, seorang pemandu jentera penuai dari kampung Mandka berkata, dia menemui burung tersebut yang cedera kaki di ladang tempatnya bekerja.
Tambahnya, kemudian dia membawa balik burung itu dan merawat kakinya yang patah dengan membalut dengan bilah buluh sehingga pulih seperti biasa.
Bagaimanapun, selepas Mohammed cuba melepaskannya ke habitat asal semula, burung diberi nama Bachcha enggan terbang dan mendekatinya seolah-olah hendak berkawan dengannya.
"Kehidupan saya tidak sama sejak itu. Kini ke mana saya pergi, Bachcha akan menemani seperti ahli keluarganya.
"Malah, semasa saya sedang bekerja, dia akan berjalan-jalan di ladang dan kemudian kami akan makan tengah hari bersama-sama," katanya.
Mohammed menceritakan lanjut, semasa musim sejuk tiba, sekumpulan burung jenjang liar akan melawat Bachcha dan mereka akan bermain bersama dan tidak akan mengikut kumpulan itu berhijrah.
Kadang-kala, semasa dia menunggang motosikal, burung itu akan terbang bersebelahannya dan mampu bersaing pada kelajuan 30 hingga 40 kilometer sejam.
Sementara itu, pakar hidupan liar menyifatkan hubungan antara Bachcha dengan manusia yang menyelamatkannya sebagai 'luar biasa' kerana burung ini dikenali sangat agresif semasa menjaga sarangnya dari penceroboh. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!