Jabatan Farmasi HTJ terbakar
SEREMBAN - Suasana panik menyelubungi Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini selepas salah satu ruang di Jabatan Farmasi hospital berkenaan terbakar pada Khamis.
Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Harlina Abdul Rashid berkata, bagaimanapun tiada mangsa yang dilaporkan cedera dalam kejadian terbabit yang berlaku kira-kira jam 4.05 petang.
"Pasukan keselamatan hospital dan petugas hospital bertindak pantas membantu mengawal kebakaran sementara menunggu ketibaan pihak bomba.
"Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Jalan Rahang berjaya memadamkan api di lokasi kejadian dan tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa membabitkan kakitangan dilaporkan dalam insiden ini," katanya dalam kenyataan kepada media pada Khamis.
Menurutnya, siasatan terhadap punca kebakaran sedang dilaksanakan JBPM.
Video kejadian itu yang berdurasi 1.21 saat turut tular di Facebook.
Kelihatan kakitangan hospital dilihat berkumpul di luar bangunan dan dapat dilihat asap keluar dari Jabatan Farmasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!