Tindakan tegas anak abai kebajikan ibu bapa
INDIVIDU yang didapati mengabaikan tanggungjawab menjaga kebajikan ibu bapa bakal berdepan tindakan mengikut akta di bawah Rang Undang-undang (RUU) Warga Emas yang bakal dibentangkan di Parlimen nanti.
Kandungan RUU itu merangkumi aspek melindungi kebajikan dan hak asasi, memperkasa warga emas dan ahli keluarga serta komuniti.
Sepatutnya RRU tersebut dibentangkan tahun ini seperti kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah kerajaan Keluarga Malaysia, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff pada Oktober lalu.
Namun, kelmarin di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri di kementerian sama di bawah kerajaan Malaysia Madani, Aiman Athirah Sabu pula memberitahu, RUU tersebut dijangka dibentangkan tahun depan.
Ia turut mengambil kira tindakan undang-undang terhadap anak yang tidak bertanggungjawab terhadap ibu bapa.
Berdasarkan unjuran data Jabatan Perangkaan Malaysia, dijangka 15.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara ini berusia 60 tahun dan ke atas menjelang 2030.
RUU tersebut penting bagi melindungi warga emas dan sebagai persediaan menghadapi status negara tua pada 2030.
Maka, kerajaan tidak boleh berlengah lagi dan RUU tersebut dapat dibentangkan di Parlimen segera mungkin.
Ketika ini pelbagai inisiatif dilaksanakan, antaranya mewujudkan perkhidmatan institusi Rumah Seri Kenangan (RSK) dan Rumah Ehsan (RE) khusus bagi warga emas yang memerlukan.
Pada masa sama, rakyat mahu satu akta yang melindungi kebajikan ibu bapa diwujudkan agar anak-anak tidak lepas tangan dalam aspek penjagaan orang tua mereka, antaranya pemotongan gaji jika anak menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan orang tua.
Ini kerana saban hari kita dapat lihat dan dengar kisah lara warga emas terutama yang terlantar sakit serta ditinggalkan hidup sendirian di rumah tanpa sebarang penjagaan sewajarnya.
Bukan itu sahaja, ramai juga gelandangan di ibu kota dalam kalangan warga emas yang menghabiskan sisa hidup di jalanan tanpa perhatian keluarga.
Walau apa pun alasan diberikan anak-anak seperti masalah keluarga atau sibuk bekerja, perbuatan mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa perlu dijadikan satu kesalahan di sisi undang-undang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!