Pindaan AUKU perlu ambil kira pandangan semua pihak

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

TOPIK membabitkan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dijangka menimbulkan pelbagai reaksi susulan pendirian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk tidak memansuhkan akta berkenaan.

KPT pada Khamis berpendirian bahawa pendekatan meminda AUKU merupakan langkah yang lebih tepat berbanding memansuhkan terus akta tersebut.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal susulan bagi menjawab pertanyaan Chow Yu Hui (PH-Raub) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Ujar Mohammad Yusof, AUKU dilihat masih relevan dan penting dalam urusan penubuhan, tadbir urus dan hubungan antara akauntabiliti Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan kerajaan serta masyarakat.

Tidak kurang sebelum ini ada pihak yang mempertikaikan akta berkenaan kerana menyekat hak kebebasan bersuara golongan mahasiswa sebagai pencetus serta nadi kepada perubahan institusi pendidikan tinggi di negara ini.

Pada 27 Februari, Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya menggesa kerajaan memansuhkan AUKU seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Angkatan tersebut juga menggesa semua ahli Parlimen untuk bersama-sama menekan kerajaan bagi memansuhkan undang-undang tersebut.

Selain itu, menurut Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya, tidak dinafikan setiap institusi perlu mempunyai undang-undang, namun sekiranya AUKU disalahgunakan ia adalah suatu kemunafikan.

Jelasnya, sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan dengan berjanji bahawa mahasiswa bebas mengkritik kerajaan.

Tambahnya, ia tidak semestinya kerajaan yang akan menghalang, ia boleh jadi di mana pihak pentadbiran universiti sendiri akan salah gunakan kuasa untuk mengekang mahasiswa atau mahasiswi untuk bebas bercakap soal politik di dalam kampus.

Keputusan berhubung akta tersebut sudah lama tergantung dan pelbagai pandangan dilontarkan berhubung isu terbabit.

Namun begitu, sekiranya benar pendirian KPT untuk memilih pendekatan meminda akta berkenaan, maka penelitian dan kajian perlu diambil kira oleh semua pihak berkepentingan bagi memastikan AUKU relevan dengan perkembangan masa.

Dalam masa yang sama, pindaan tersebut juga perlu merangkumi panduan untuk memastikan supaya tidak ada sebarang kegiatan penyalahgunaan kuasa daripada sebarang pihak termasuk pentadbiran universiti sendiri yang cuba menghalang golongan mahasiswa untuk bersuara mengenai politik dalam kampus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!