Gali muara Sungai Merang berkala atasi mendapan pasir
KUALA TERENGGANU – Kaedah penggalian di bahagian muara Sungai Merang, Setiu secara berkala pada setiap tahun merupakan antara cadangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu bagi mengatasi masalah mendapan pasir di kawasan itu.
Pengarahnya, Hanizan Deraman berkata, JPS Terengganu telah menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dengan mengorek mendapan pasir di muara sejak tahun 2004 dan ia melibatkan kos yang tinggi.
Bagaimanapun menurutnya, kerja-kerja tersebut hanya bersifat sementara kerana muara sungai kembali mendap pada setiap tahun akibat fenomena ombak dan lebih kritikal terutama pada musim tengkujuh.
“Muara Merang sentiasa mengalami masalah mendapan pasir yang kritikal menyebabkan bot-bot nelayan terkandas terutama semasa kejadian air laut surut.
“Kejadian pemendapan pasir ini sering berlaku disebabkan keadaan ombak di kawasan pesisiran pantai yang akan sentiasa mengubah keadaan muara ditambah sedimen pasir dari sungai menyebabkan keadaan muara menjadi cetek.
“Keadaan ombak laut yang sentiasa berubah dan kadar aliran air sungai ke muara adalah perlahan, menyebabkan mendapan senang berlaku di bahagian muara,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Jelas Hanizan, bagi jangka masa panjang, kerajaan Persekutuan telah meluluskan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merang di bawah kelulusan RMKe-11 Rolling Plan 4 (RP4) bagi menjalankan kajian bagi projek di muara Sungai Merang.
Katanya, skop kajian rekabentuk terperinci dan projek fizikal pula telah diluluskan di bawah RMK-12 Rolling Plan 3 (RP3).
“Pada masa sekarang JPS Malaysia dalam proses melantik perunding rekabentuk terperinci bagi projek tersebut,” katanya.
Sinar Harian pada 13 Mac lalu melaporkan, tidak tahan dengan masalah muara sungai Merang cetek dan tertutup yang tidak pernah selesai, sekumpulan pengusaha bot pelancong, resort dan nelayan di sini akhirnya memutuskan untuk mengambil inisiatif sendiri.
Mereka sepakat mengumpul dana untuk melaksanakan kerja-kerja membuka laluan muara sungai ke laut bagi membolehkan industri pelancongan dan perikanan yang menjadi sumber ekonomi penduduk kembali bernyawa.
Wakil komuniti yang juga pengusaha bot pelancong, Azhar Che Razak, 31, berkata, sebanyak RM19,800 hasil sumbangan daripada pengusaha bot, nelayan, pengusaha homestay dan resort di Pulau Redang berjaya dikumpulkan dalam tempoh 24 jam selepas kutipan dibuka pada Jumaat lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!