Tuanku Zara berkenan lancar buku ilustrasi seni pelajar OKU
TAIPING - Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan melancarkan buku Karya Seni Bidadari yang merupakan ilustrasi seni dan kreatif pelajar kurang upaya (OKU).
Keberangkatan baginda ke Dewan Perbandaran Taiping pada Jumaat itu diiringi Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri), Datin Seri Aezer Zubin.
Baginda turut meluangkan masa melawat ruang pameran yang menempatkan hasil seni kreatif pelajar-pelajar berkenaan.
Karya Seni Bidadari merupakan inisiatif Persatuan Insan Bermasalah Intelek Perak (Pafid) dalam mengumpul dana bagi pembangunan Sekolah Semangat Maju.
Buku yang dijual pada harga RM25 senaskhah itu diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu Malaysia, Inggeris dan Cina.
Presiden Pafid, Alex Loh Peng Wee dalam ucapannya berkata, semua ilustrasi seni dan kreatif yang dipaparkan dalam buku berkenaan adalah hasil karya pelajar dan pelatih persatuan berkenaan.
Menurutnya, setiap lukisan menggambarkan emosi dari pandangan sudut mata kumpulan insan istimewa itu.
"Keupayaan mereka menzahirkan idea-idea sangat di luar jangkaan. Potensi mereka harus diberi keutamaan dan pengiktirafan.
"Seharusnya ini memberi kesedaran kepada kita untuk menghargai dan menyayangi mereka sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat dan warga yang tidak boleh dipinggirkan," katanya.
Beliau berkata, Pafid kini mengelolakan sebuah taska, lima Sekolah Semangat Maju dan lima bengkel Perlindungan Semangat Maju di Ipoh, Taiping, Sitiawan, Kuala Kangsar dan Batu Gajah dengan sokongan Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM), Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Katanya, sehingga kini terdapat seramai 460 kanak-kanak, pelajar serta dewasa yang berdaftar di bawah Pafid, termasuk 200 pelatih yang ditempatkan bekerja di kilang dan bengkel kelolaan persatuan.
"Misi utama persatuan itu untuk memberikan pendidikan holistik, program latihan kerjaya dan penempatan kerja kepada insan bermasalah intelek hidup agar dapat berdikari dalam masyarakat.
"Cabaran persatuan untuk membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada pelatih sebaik mereka menamatkan latihan kerja di Bengkel Perlindungan Semangat Maju.
"Jadi kami merancang supaya persatuan menerokai sumber dana yang tetap dan berterusan tanpa mengharap sepenuhnya sumbangan awam untuk membantu merealisasikan perancangan ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!