NGO gesa polis siasat dua pemimpin pembangkang
SHAH ALAM - Sekurang-kurangnya 10 laporan polis melibatkan dua pemimpin utama pembangkang dibuat enam badan bukan kerajaan (NGO) berhubung dakwaan melanggar Akta Rahsia Rasmi Kerajaan Malaysia dan juga perbuatan luar tabii.
Laporan-laporan berkenaan dibuat di Balai Polis Daerah Dang Wangi pada Rabu lalu.
Antaranya, mahu pihak polis menyiasat kenyataan dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mendakwa menyimpan banyak fail melibatkan ramai pemimpin.
Pendedahan Hamzah itu dipetik menerusi temu bual bersama sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris.
Laporan polis berkenaan mendakwa ia sebagai satu tindakan jenayah dan subahat serta mahu polis menyiasat bagi mengelakkan berlakunya rasuah dan salah guna kuasa.
Selain itu, Hamzah juga disifatkan tidak berintegriti kerana menyimpan fail kerajaan melanggar Akta Rahsia Rasmi Kerajaan Malaysia.
Sementara itu, beberapa laporan lain menggesa polis membuka semula kertas siasatan berhubung sebuah video kelakuan luar tabii dua lelaki yang salah seorangnya dikatakan mirip seorang lagi pemimpin pembangkang.
Laporan itu dibuat bertujuan untuk mengetahui fakta sebenar siapa pelaku dan memastikan tindakan undang-undang diambil terhadap pelaku video berkenaan.
Wakil NGO, Datuk Yusoff Ahmad berkata, susulan laporan berkenaan pihaknya menggesa polis mengambil tindakan sewajarnya dalam tempoh 14 hari.
"Kami berharap laporan ini dapat bantu kerajaan menyelesaikan atau yang terbaik memastikan segala fitnah dan salah laku dapat diambil tindakan tanpa mengira parti atau di mana mereka datang.
"Semoga perjuangan kami ini tidak akan disia-siakan dan Malaysia akan terus makmur bawah Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!