Status OKU tidak halang muncul pelajar cemerlang SMA
MARAN - Berstatus orang kurang upaya (OKU) tidak menghalang pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Dong, Raub untuk muncul antara pelajar cemerlang sekali gus meraih anugerah Mumtaz Sofi selepas meraih 10A dalam peperiksaan SMA Pahang 2022.
Puteri Aleeya Balqis Mohd Azrin,17, mengalami lemah saraf pada kaki kanan sejak berusia enam tahun menyebabkan dia terpaksa bergantung pada tongkat untuk berjalan.
Sebelum ini, anak sulung daripada lima beradik itu terpaksa berkerusi roda sebelum menggunakan tongkat ketika berusia 15 tahun hingga kini.
Menurutnya, kelemahan fizikal tidak menghalangnya untuk meraih keputusan terbaik walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran.
"Saya bersyukur dengan kejayaan ini berkat sokongan dan doa ibu bapa, guru-guru selain rakan-rakan yang banyak membantu selama ini.
"Niat saya cuma nak banggakan ibu bapa yang banyak berkorban selama ini," kata Puteri Aleeya yang berhasrat menjadi seorang pensyarah.
Ditanya rahsia kejayaannya, Puteri Aleeya Balqis berkata, dia banyak melakukan ulang kaji pelajaran bersama rakan-rakan selain tidak kedekut berkongsi ilmu.
Turut menerima anugerah sama, rakan baiknya, Nur Dalilah Abdul Malek,17, dari sekolah sama.
Nur Dalilah mengakui terkejut selepas dimaklumkan antara calon cemerlang SMA Pahang.
Dia berkata, bersyukur dan menangis kegembiraan selepas mendapat panggilan memaklumkan mengenai kejayaan itu pada Khamis.
"Pada peperiksaan percubaan, saya dapat keputusan 8A, tak sangka bila dimaklumkan dapat semua A untuk semua 10 subjek.
"Namun saya tidak mahu mengalah untuk meraih keputusan cemerlang," ujar anak keempat dari lima beradik yang bercita-cita menjadi seorang usahawan berjaya.
Kedua-dua pelajar berkenaan antara 108 calon yang mendapat Mumtaz Sofi dalam peperiksaan SMA tahun lalu.
Anugerah disampaikan oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad sempena majlis pengumuman keputusan SMA Pahang di SMA Chenor di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr Zulkifle Ali dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jaip, Zaidi Ismail dan Pengetua SMA Chenor, Aminah Murni Hassan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!