'Datuk Roy' direman lagi
PUTRAJAYA - Seorang individu dikenali sebagai 'Datuk Roy' yang ditahan semula oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, direman empat hari bermula hari ini.
Perintah reman selama empat hari bermula Jumaat ini dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas menerima permohonan lanjut reman daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan lanjutan reman terbabit.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009," ujarnya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan lelaki itu telah direman selama tiga hari oleh Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin lalu sebelum ditahan semula di Pejabat SPRM, jam 3.45 petang, Rabu.
Majistret Kuala Lumpur memerintahkan lelaki itu direman bagi membantu siasatan berhubung dana Jana Wibawa.
Siasatan kes Jana Wibawa dibuat Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Sebelum ini, 'Datuk Roy' dicari oleh SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan nilai RM400,000 bagi mengelakkan siasatan membabitkan kes program Jana Wibawa.
Empat individu termasuk seorang pegawai SPRM ditahan, namun kemudiannya dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan ke atas program kontroversi itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!