Aiman Tino sertai UMNO
HULU SELANGOR - Penyanyi popular, Aiman Tino, 25, menyertai politik dengan memilih UMNO sebagai wadah perjuangan.
Perkara tersebut dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar melalui kemas kini di Facebooknya pada Jumaat.
Rosni yang juga Setiausaha Wanita UMNO memberitahu, pihaknya hadir dalam program penerimaan borang keahlian UMNO penyanyi muda tersebut Khamis lalu.
"Saya dimaklumkan oleh Ketua Pemuda UMNO Hulu Selangor bahawa saudara Aiman Tino turut dilantik sebagai Pengerusi Biro Putera Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor," katanya.
Aiman menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor, Omar Al-Khattab Kasim disaksikan oleh Rosni di Pejabat UMNO Hulu Selangor.
Dalam pada itu, menurut laporan sebuah akhbar, penyanyi yang terkenal dengan lagu Ku Rela Di Benci itu memaklumkan penyertaannya sebagai ahli UMNO bukanlah perkara luar biasa kerana sebelum ini ayahnya, Yusri Ishak juga pernah memegang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian berkenaan.
Aiman berpandangan hanya parti itu mampu memartabatkan agama, bangsa dan negara sejak dahulu, kini dan selamanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!