NSFC mula tunjuk karakter benar - Devan
KEMENANGAN pertama Negeri Sembilan FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam Khamis memberikan petanda positif buat pasukan untuk tampil lebih progresif dalam saingan liga musim ini.
Ketua Jurulatih K. Devan berkata, pasukannya telah menunjukkan karakter sebenar sepanjang perlawanan dan tampil lebih berkeyakinan untuk meraih kemenangan di halaman sendiri.
"Perlawanan sebelum ini, kita kalah dengan pasukan terbaik. Pasukan tidak boleh bawa perkara itu dalam perlawanan seterusnya, fokus pasukan adalah memperbaiki kedudukan dalam carta.
"Hari ini (malam tadi) satu persembahan yang penuh bersemangat dipamerkan oleh pasukan, terutamanya pada separuh masa kedua, kepantasan dan intensiti pemain semakin bagus," katanya kepada pemberita selepas mencatat kemenangan menewaskan Terengganu 2-1 malam Khamis.
Devan berkata, kemasukan pemain Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi pada separuh masa kedua menggantikan Mahalli Jasuli lebih berkesan apabila membantu pasukan mencipta gol kemenangan.
Katanya, waktu rehat beberapa minggu ini memberi peluang kepadanya untuk menumpukan perhatian terhadap beberapa pemain import untuk mendapatkan persefahaman dengan pemain tempatan serta meningkatkan prestasi pasukan.
NSFC dijadual menerima kunjungan Kelantan FC pada 1 April ini. Skuad Hobin Jang Hobin kini menduduki tempat ketujuh liga dengan lima mata. Johor Darul Ta'zim (JDT) mengungguli carta dengan 12 mata diikuti Sabah dan Selangor, masing-masing 10 mata. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!