Buat laporan polis, tidak puas hati isu penyelenggaraan lif

Dua laporan polis dibuat berhubung kejadian ahli keluarganya terperangkap di dalam lif. (Rakaman kejadian anaknya terperangkap sendirian di dalam lif.)
Dua laporan polis dibuat berhubung kejadian ahli keluarganya terperangkap di dalam lif. (Rakaman kejadian anaknya terperangkap sendirian di dalam lif.)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan aspek penyelenggaraan lif sebuah kondominium 55 tingkat di Cheras di sini.

Pengadu, Jonathan Vela, 35, berkata, banyak kes membabitkan kejadian mangsa terperangkap di dalam lif perumahan bertingkat itu, termasuk pengalaman dialami sendiri oleh keluarganya sebanyak dua kali dalam tempoh kurang setahun.

Menurutnya, anaknya berusia tiga tahun pernah terperangkap sendirian di dalam lif berkenaan susulan masalah sensor pada butang lif sekitar Disember tahun lepas.

"Saya tekan butang lif dan tahan dengan tangan namun pintunya tertutup dengan sendiri menyebabkan anak yang sudah masuk awal terperangkap seorang diri di dalam lif berkenaan.

"Bimbang akan keselamatan anak, saya bertindak membuka pintu lif dengan tangan namun dipersalahkan kerana tidak membiarkan lif tersebut terbuka secara normal," katanya pada Jumaat.

Katanya, dalam kejadian kedua pula, sembilan ahli keluarga terdiri empat anak termasuk bayi berusia tujuh bulan, empat anak saudara serta kakak ipar turut mengalami nasib sama kira-kira seminggu lalu.

"Lif yang sepatutnya berhenti di tingkat tujuh secara tiba-tiba tersangkut di tingkat lima. Mereka terpaksa buka pintu lif secara manual untuk keluar.

"Dua kali saya telefon bilik kawalan namun panggilan tidak di jawab, apabila pergi ke sana, pejabat tiada orang," katanya.

Beliau yang baharu sahaja berpindah ke bangunan baharu itu pada Ogos tahun lalu meluahkan rasa kecewa dengan isu penyelenggaraan di bangunan berdensiti tinggi merangkumi 800 unit.

"Saya berharap pihak pengurusan bertanggungjawab dan menambah baik aspek keselamatan khususnya menempatkan operator lif susulan banyak kejadian mangsa terperangkap di dalam lif.

"Anak saya terpaksa jalani sesi psikiatri susulan kejadian tersebut. Malah, saya yang mempunyai lima anak berusia 11 tahun hingga tujuh bulan tidak yakin untuk membenarkan mereka menggunakan lif secara bersendirian," katanya.

Ujarnya, pihaknya telah mendapatkan khidmat nasihat daripada pejabat guaman untuk mengambil tindakan undang-undang.

"Saya membesar di perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) namun tidak pernah hadapi situasi seteruk ini. DBKL ambil tindakan pantas berkait isu keselamatan penduduk.

"Kondominium ini saya beli dengan harga sekitar RM630,000, bil penyelenggaraan kena bayar RM350 sebulan, tidak wajar isu keselamatan penduduk diambil mudah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!