Pelajar SMK Jenjarom johan pertandingan esei bahasa Inggeris
SHAH ALAM - Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom, Selangor, Lim Zi Chye dinobatkan sebagai johan pertandingan menulis esei anjuran pusat bahasa Inggeris terkemuka, ELS English Language Ambassador Award 2022.
Pelajar tersebut, membawa pulang hadiah utama iaitu lawatan sambil belajar selama seminggu ke University of Adelaide, Australia termasuk tiket pergi balik berserta penginapan untuk dua orang.
Selain itu, dia turut menerima wang tunai berjumlah RM2,000, trofi, sijil pencapaian, dan langganan majalah Just English selama setahun.
Zi Chye juga akan menyertai minggu orientasi University of Adelaide pada bulan Julai ini dan mengikuti pengalaman belajar di luar negara melalui acara sosial, program kebudayaan, dan rombongan lawatan ke sekitar bandar Adelaide.
Sementara itu, pelajar SMK ST Anthony, Sarawak, Clairra Freddy diumumkan sebagai naib johan manakala Isabel Ooi Yo Yi dari SMK Seri Kembangan Selangor merangkul tempat ketiga.
Masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,500 dan RM750, berserta trofi, sijil pencapaian, dan langganan majalah Just English selama setahun.
Majlis Penyampaian Anugerah yang dirasmikan Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Sarina Salim turut meraikan tujuh lagi finalis lain.
Mereka masing-masing membawa pulang trofi, sijil pencapaian, markah kokurikulum, dan langganan majalah Just English selama setahun.
Salina berkata, usaha Pusat Bahasa ELS menganjurkan pertandingan tersebut amat dialu-alukan.
Menurutnya, KPM juga mengadakan banyak inisiatif untuk menggalakkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah negara ini.
"Kami sangat bergembira kerana inisiatif ini disambut baik institusi swasta seperti Pusat Bahasa ELS, bukannya terletak di bahu Kementerian semata-mata.
"Kami menggalakkan perkongsian antara pihak awam dan swasta termasuklah antarabangsa kerana hal ini melahirkan ekosistem yang sihat untuk membangunkan bakat yang berketrampilan di serata sekolah kebangsaan kita.
"Kami amat nanti-nantikan kesinambungan program seperti ELS English Language Ambassador Award pada tahun-tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Australia, yang diwakili Kaunselor Pendidikan dan Penyelidikan, Fiona Morris, berkata, Australia dan Malaysia telah menjalinkan hubungan pendidikan yang jitu.
Bahkan, hubungan dua hala antara Adelaide dengan bandar seinduknya (sister city), Pulau Pinang bakal diraikan sempena ulang tahun ke-50.
"Kami amat berbangga kerana University of Adelaide merupakan penaja bagi anugerah ini dan pemenang berpeluang untuk mengikuti lawatan sambil belajar selama tujuh hari di Adelaide.
"Tahniah kepada semua peserta dan pemenang pertandingan ini dan usaha masing-masing untuk mencapai kecemerlangan dalam bahasa Inggeris amat dipuji,"katanya.
Pertandingan Menulis Esei ELS English Language Ambassador Award merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang dilancarkan oleh ELS pada tahun 2022 sebagai menyokong usaha kerajaan dalam meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah menengah di Malaysia.
Pertandingan tersebut merangkumi program penulisan sebagai persediaan menduduki kertas Bahasa Inggeris peringkat SPM, dan telah mendapat penyertaan seramai 19,154 orang pelajar Tingkatan 4 and 5 dari 247 sekolah menengah kebangsaan di seluruh Malaysia.
Pada tahun ini, Pertandingan Menulis Esei ELS English Language Ambassador Award 2023 anjuran ELS bakal membuka tirainya pada bulan Mei.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!