Selangor selaras syarat permohonan taska di rumah

Dr Siti Mariah ketika menjawab soalan pada Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keenam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, pada Jumaat. - Foto Bernama
Dr Siti Mariah ketika menjawab soalan pada Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keenam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor sedang menyelaras syarat-syarat pendaftaran taska di rumah yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memudahkan pengusaha taska berkenaan meneruskan operasi mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, semua taska yang berdaftar di bawah Akta 308 Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 perlu mematuhi syarat yang ditetapkan dan operasinya tertakluk kepada undang-undang PBT di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun, pihaknya mendapat aduan bahawa syarat-syarat bagi pengasuh beroperasi di rumah di peringkat PBT berbeza mengikut kawasan dan didapati terlalu ketat.

Susulan itu, katanya, satu sesi libat urus bagi isu pendaftaran taska di rumah bersama PBT telah diadakan pada 6 Mac lepas bersama dengan jabatan dan agensi berkaitan untuk membuat semakan semula syarat-syarat berkaitan penyeragaman dan memudahkan urusan permohonan selain menggalakkan pendaftaran para pengusaha taska.

"Rentetan daripada sesi libat urus ini, kita menulis surat kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri untuk melanjutkan tempoh setahun untuk pendaftaran taska di rumah yang masih dalam tempoh sah perakuan selaras dengan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984," katanya menjawab pertanyaan daripada Michelle Ng Mei Sze (DAP-Subang Jaya) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Jumaat.

Beliau turut mencadangkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) agar mengeluarkan taska yang beroperasi di rumah daripada Akta 308 kerana peraturan itu hanya diperuntukkan kepada taska institusi, taska tempat kerja dan taska komuniti.

Sementara itu, Siti Mariah turut mengulas soalan tambahan daripada Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) berkenaan galakan kerajaan negeri untuk pembinaan taska di ruang pejabat untuk memudahkan ibu bapa yang bekerja di pejabat berkenaan menguruskan anak mereka.

Katanya, beberapa pejabat tidak dibina untuk dilengkapkan dengan kemudahan taska dan sukar untuk memenuhi syarat-syarat yang diberikan oleh PBT, bomba dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

"Selalunya mereka akan gagal di peringkat PBT, malah ada pengusaha taska yang sukar memenuhi syarat yang ditetapkan oleh PBT walaupun mereka mendapat geran daripada KPWKM untuk mengubah suai (pejabat),” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!