Syarat mohon konsesi balak hanya perlu miliki tukul besi
IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendedahkan syarat memohon konsesi balak dan ladang hutan di negeri ini hanya perlu memiliki tukul besi dan syarat itu tidak pernah disemak sejak negara mencapai kemerdekaan.
Menurutnya, susulan itu, Jabatan Perhutanan Perak sedang menambah baik prosedur operasi standard atau garis panduan terhadap syarat memiliki konsesi balak dan ladang hutan di negeri ini.
"Ia penting bagi memastikan kelulusan projek pembangunan ladang hutan hanya diberikan kepada syarikat yang benar-benar layak dan berkeupayaan dari segi kepakaran dan kewangan.
"Untuk itu kerajaan negeri akan meletakkan syarat modal berbayar minimum RM200,000 kepada syarikat yang berminat untuk memohon," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Sidang DUN Perak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, pentadbiran kerajaan PH memutuskan untuk mengurangkan kawasan Zon Pembangunan Ladang Hutan seluas 61,189 yang diluluskan pentadbiran sebelum ini kepada hanya 35,000 hektar sahaja.
Menurutnya, daripada jumlah itu, hanya 7,828 hektar sudah diusahakan manakala selebihnya masih dalam proses penyediaan dokumen seperti Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Rancangan Pengurusan Ladang Hutan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!