Pemilihan UMNO: Calon tewas perlu teruskan perjuangan

Reezal Merican
Reezal Merican
A
A
A

SHAH ALAM - Semua calon perwakilan yang tewas dalam Pemilihan UMNO 2023 diseru untuk meneruskan perjuangan mereka meskipun tidak dipilih sebagai barisan kepimpinan parti itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pentas demokrasi itu perlu dizahirkan dengan keseronokan di samping memberikan sokongan dan dukungan antara satu sama lain.

Katanya, calon menang, dakap yang kalah manakala individu tidak terpilih teruskan perjalanan mereka.

"Oleh itu, saya menyeru agar semua perwakilan meneruskan perjuangan kerana pesta demokrasi ini adalah untuk menzahirkan perasaan keseronokan. Ada orang kata dia kalah hari ini mungkin dia akan menang esok.

"Sesiapa jua yang pernah melalui proses kekalahan itu bukan titik noktah terakhir, kalah atau menang bukan satu alasan untuk berputus asa sebaliknya bangkit semula," katanya dalam petikan UMNO Online pada Jumaat.

Reezal Merican turut berpendapat Pemilihan UMNO 2023 itu dapat membuka ruang kepada para perwakilan mengenali calon secara lebih dekat.

"Alhamdulillah perjalanan Majlis Pengenalan Calon berlangsung dengan meriah sekali.

"Saya dapat menyaksikan bahawa keseronokan di antara perwakilan dan ahli-ahli UMNO dapat mengenali secara lebih dekat dengan pemimpin-pemimpin daripada luar,” jelasnya.

Beliau yang juga menawarkan diri sebagai Naib Presiden UMNO dengan memegang calon nombor enam pada musim pemilihan kali itu berharap semua ahli dan akar umbi bersemangat untuk berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Pemilihan ini juga boleh menjadi satu perkara yang boleh menyemarakkan semangat kita terutamanya menjelang PRN,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!