Agong berangkat ke majlis bacaan Yasin di Masjid Bukit Aman

Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat pada majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat serta solat Jumaat sempena Peringatan Hari Polis Ke-216 di Masjid Bukit Aman, pada Jumaat. Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat pada majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat serta solat Jumaat sempena Peringatan Hari Polis Ke-216 di Masjid Bukit Aman, pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat serta solat Jumaat sempena Peringatan Hari Polis ke-216 di Masjid Bukit Aman, di sini pada Jumaat.

Ketibaan Seri Paduka di masjid berkenaan pada kira-kira 12.40 tengah hari disambut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan; pegawai kanan dan anggota melibatkan jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mazlan Mansor.

Al-Sultan Abdullah berkenan beramah mesra bersama jemaah di Masjid Bukit Aman. Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan beramah mesra bersama jemaah di Masjid Bukit Aman. Foto Bernama



Majlis itu dipimpin oleh Timbalan Pengarah (Agama dan Kaunseling) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman selaku Imam Besar Masjid Bukit Aman, Datuk Ghazali Daud yang turut menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk "Ramadan Dinanti, Keamanan Dinikmati”.

Majlis berkenaan disertai kira-kira 1,000 pegawai dan anggota PDRM bersama agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri serta orang awam.



Sambutan yang bertemakan "Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada” yang diadakan setiap 25 Mac itu, adalah penghargaan kepada warga PDRM atas khidmat bakti dicurahkan dalam memikul amanah dan tanggungjawab memelihara keamanan serta keselamatan negara.

Sambutan Peringatan Hari Polis ke-216 akan diadakan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini pada Isnin ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!