Guru rugi RM123,350 gara-gara mahu beli Smart Tag

PDRM
PDRM
A
A
A
KUANTAN - Seorang guru di Maran mengalami kerugian lebih RM100,000 selepas terpedaya dengan tawaran pembelian Smart Tag di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihak polis telah menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 54 tahun pada Selasa lalu.

Menurutnya, mangsa telah melayari laman sosial Facebook dan berminat untuk membeli Smart Tag Touch 'n Go yang berharga RM80 seunit.

"Mangsa telah berurusan dengan suspek dan telah memasukkan maklumat ke dalam pautan yang diberi untuk pembayaran.

"Pengadu telah memasukkan maklumat dua bank tetapi masih gagal membuat pembayaran. Setelah semakan dibuat, pengadu mendapati wang simpanan di dalam kedua-dua akaun miliknya telah dikeluarkan melalui 16 kali transaksi dan kerugian sebanyak RM123,350," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau menasihati masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan laman media sosial jualan yang tidak wujud dan mengelakkan memuat turun aplikasi pautan dari sumber tidak sah atau mencurigakan.

"Orang ramai juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," ujar Ramli.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!