Syarat miliki tauliah bukan sekat berdakwah

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang bersetuju untuk memberi pengecualian atau pemberian tauliah khas kepada tokoh-tokoh agamawan atau ulama tertentu untuk mengadakan ceramah atau mengajar agama Islam di negeri ini.
Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang bersetuju untuk memberi pengecualian atau pemberian tauliah khas kepada tokoh-tokoh agamawan atau ulama tertentu untuk mengadakan ceramah atau mengajar agama Islam di negeri ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Syarat memiliki tauliah untuk mengajar dan menyampaikan ceramah agama tidak bertujuan menyekat usaha dakwah dan penyebaran ilmu agama kepada masyarakat.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, sebaliknya ia bertujuan membendung aktiviti keilmuan supaya tidak dicemari anasir yang boleh memesongkan kefahaman masyarakat terutama umat Islam daripada hakikat agama Islam yang sebenar.

Beliau berkata, dengan pemberian tauliah kepada mereka yang berkelayakan daripada sudut ilmu dan akhlak diharap dapat meningkatkan lagi pengetahuan masyarakat Islam.

Katanya, pemberian tauliah juga diharap memantapkan kefahaman mereka yang layak terhadap ajaran agama yang sejati seterusnya dapat dihayati serta diamalkan dengan cara yang betul.

"Ia akan memberi manfaat yang dikehendaki untuk kesejahteraan hidup muslim di dunia dan akhirat. Agama Islam mempunyai disiplin ilmu yang ketat dan mapan sebagai misi suci dan rahmat terbit dari sumber Ilahi yang sahih untuk kebaikan serta kepentingan hidup manusia di dunia dan akhirat.

"Segala ilmu berkaitan dengan agama yang mulia ini mesti sentiasa dipelihara supaya kesuciannya tidak dinodai dan segala ajarannya tidak diselewengkan oleh mana-mana individu atau pihak yang mempunyai agenda tertentu sehingga tersasar daripada misi asal terkandung dalam ilmu disampaikan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kepentingan tauliah untuk mengajar dan penyampaian ceramah di Pulau Pinang.

Tambah Wan Salim, tauliah adalah penting sebagai tanda pengiktirafan terhadap kelayakan seseorang untuk mengajar agama dan menyampaikan ceramah bekaitan hal ehwal agama Islam.

"Ilmu benar akan memberi kefahaman yang benar kepada masyarakat awam tentang pelbagai aspek ajaran Islam. Mana-mana orang yang ingin mengajar atau (dan) menyampaikan ceramah agama Islam di Pulau Pinang dikehendaki membuat permohonan kepada Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

"Pemohon akan dipanggil untuk temuduga secara ujian lisan dan tulisan berdasarkan bidang ilmu dimohon untuk mengajar atau untuk ceramah umum. Jawapan akan dinilai oleh jawatankuasa khas yang terdiri daripada mereka yang pakar dalam pelbagai bidang ilmu seperti tauhid, fiqh, tajwid, tasauwuf dan pemikiran Islam semasa. Keputusan ujian temuduga akan diberitahu kepada pemohon dalam tempoh yang agak segera," katanya.

Wan Salim berkata, pemegang tauliah mengajar atau penceramah dikehendaki mematuhi beberapa etika tertentu antaranya mesti berkelakuan baik dan tidak mengajar ilmu yang bertentangan dengan pegangan ahli Sunnah Wal Jama’ah.

"Pemegang tauliah juga tidak boleh menggunakan masjid atau surau sebagai pentas politik, tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum di Malaysia, tidak menyentuh kedudukan raja-raja atau meminta kepada pandangan yang ekstrem dan taasub kepada mana-mana pihak.

"Pelanggaran terhadap mana-mana syarat ini boleh menyebabkan tauliah yang diberikan kepada seseorang terbatal atau ditarik balik. Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004, Seksyen 119 menyatakan bahawa mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau apa-apa aspek tentang agama Islam tanpa tauliah diberikan adalah satu kesalahan.

"Mereka yang disabitkan bersalah boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang bersetuju untuk memberi pengecualian atau pemberian tauliah khas kepada tokoh-tokoh agamawan atau ulama tertentu untuk mengadakan ceramah atau mengajar agama Islam di negeri ini.

Keputusan mengenai perkara itu telah dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Pulau Pinang pada 14 November tahun lalu dan dibuat berdasarkan Perkara 121 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!