UKKM beroperasi pada April

Lebih 200 koperator dan usahawan menyertai program Turun Padang ke Arah Memasyarakatkan Koperasi (MasKop) 2023 anjuran IKMa di Ipoh.
Lebih 200 koperator dan usahawan menyertai program Turun Padang ke Arah Memasyarakatkan Koperasi (MasKop) 2023 anjuran IKMa di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) yang dikendalikan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) akan mula beroperasi secara rasmi April ini.

Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor berkata, dianggarkan seramai 100 penuntut dijangka mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana di universiti berkenaan.

Menurutnya, UKKM berperanan sebagai pemangkin pembangunan modal insan dengan melahirkan pelapis pemimpin koperasi yang kompeten dan profesional di negara ini.

"Pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah memberi kelulusan untuk kita melaksanakan program master (ijazah sarjana) terlebih dahulu sebelum diploma dan ijazah sarjana muda.

"Kini, kita dalam peringkat proses audit premis oleh JPT (Jabatan Pengajian Tinggi), surat kelulusan beroperasi sepenuhnya akan dikeluarkan dan seterusnya kita boleh membuat pengambilan pelajar bagi semua program yang ditawarkan," katanya.

Mohd Ali ketika berucap pada program Turun Padang ke Arah Memasyarakatkan Koperasi (MasKop) 2023 di Ipoh.
Mohd Ali ketika berucap pada program Turun Padang ke Arah Memasyarakatkan Koperasi (MasKop) 2023 di Ipoh.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Turun Padang ke Arah Memasyarakatkan Koperasi (MasKop) 2023 di Hotel Casuarina@Meru di sini pada Jumaat.

Kata beliau, IKMa mendapat kerjasama daripada koperasi-koperasi untuk menghantar anak ahli mengikuti pengajian yang ditawarkan.

"Trend untuk belajar dilihat menurun namun kita mendapat kerjasama daripada koperasi besar untuk menghantar pelajar dan membantu membiayai pinjaman mahupun biasiswa.

"Bidang koperasi ini dilihat kurang mendapat tempat dalam kalangan orang muda, namun kita berusaha untuk menarik golongan ini kerana kerjaya dalam bidang ini setanding di sektor lain," katanya.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, IKMa mengambil inisiatif membantu koperasi memberi khidmat rundingan dan bimbingan secara berfokus dalam bidang pengurusan dan perniagaan.

"Program Bimbingan Bersasar bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan koperasi dalam era digitalisasi dan seterusnya koperasi dapat mengaplikasikannya.

"Melihat kepada aspek kewangan dan akaun, bimbingan akan diberikan agar koperasi dapat meningkatkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran operasi," katanya.

Lebih 200 koperator dan usahawan menyertai program Turun Padang ke Arah Memasyarakatkan Koperasi (MasKop) 2023 anjuran IKMa di Ipoh.
Lebih 200 koperator dan usahawan menyertai program Turun Padang ke Arah Memasyarakatkan Koperasi (MasKop) 2023 anjuran IKMa di Ipoh.

Tambah beliau, IKMa telah menganjurkan 29 program MasKop dengan penyertaan seramai 6,140 peserta.

"Ini antara inisiatif IKMa turun padang bertemu dengan gerakan koperasi dalam memberi kefahaman kepada masyarakat terhadap peranan koperasi dalam membangunkan ekonomi komuniti dan negara.

"Kita mempunyai lebih 700 program yang telah disusun dan antara lain kita menyasarkan pelaksanaan latihan kepada 7,500 ahli pengarah dari segi koperasi merangkumi pendedahan undang-undang dan asas menguruskan koperasi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!