328 bubu naga bernilai RM39,360 dirampas

Yazeereen (dua dari kiri) menunjukkan keroncong pukat tunda bersaiz kurang 38 milimeter yang dirampas.
Yazeereen (dua dari kiri) menunjukkan keroncong pukat tunda bersaiz kurang 38 milimeter yang dirampas.
A
A
A

GEORGETOWN - Jabatan Perikanan Pulau Pinang merampas 328 bubu naga dengan anggaran nilai RM39,360 sepanjang Februari tahun ini.

Pengarahnya, Yazeereen A Bakar berkata, rampasan itu dibuat ketika menjalankan siri pemeriksaan darat di jeti-jeti nelayan di daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan sepanjang bulan lalu.

Menurutnya, selain bubu naga, pihaknya juga menyita 2,890 mata rawai tanpa umpan setelah didapati tidak mempunyai kebenaran untuk menggunakan untuk menangkap ikan.

"Pada 9 Februari lalu juga, kita menahan dan menyita sebuah vesel pukat tunda Zon B1 tempatan pada kedudukan 9 batu nautika dari Pulau Bidan, Yan Kedah.

"Dalam sitaan itu, empat nelayan tempatan berusia lingkungan 25 hingga 63 tahun ditahan kerana melanggar syarat lesen. Mereka telah dikompaun dan telah dibebaskan, "katanya pada sidang akhbar di Pejabat Jabatan Perikanan Pulau Pinang di Batu Maung di sini pada Jumaat.

Menurutnya, selain itu, turut disita adalah hasil tangkapan sebanyak 500 kilogram. Anggaran nilai rampasan bagi kesemua kes sepanjang Februari adalah sebanyak RM42,860 termasuk hasil tangkapan sebanyak 0.5 tan metrik.

Kata beliau, kesemua rampasan dibuat ketika pasukan penguatkuasaan menjalankan rutin rondaan di sekitar perairan Pulau Pinang.

"Vesel yang disita itu didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menggunakan keroncong pukat tunda bersaiz kurang 38 milimeter.

"Apabila keroncong pukat bersaiz terlalu kecil, ia akan menyebabkan semua anak-anak ikan, udang dan sebagainya akan tersangkut pada pukat. Ini akan menyebabkan sumber laut berkurangan," katanya.

Tambah beliau lagi, pihaknya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang memantau penjualan bubu naga di aplikasi dalam talian.

"Kita sedang memantau dan KPDN serta SKMM sedang dalam proses untuk menurunkan iklan-iklan dalam aplikasi dalam talian ini.

"Usaha ini akan berterusan demi membendung penjualan bubu naga ini menerusi dalam talian ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!