Lebih 100 botol ketum dirampas dalam dua serbuan

Sebahagian cecair dipercayai ketum dirampas polis menerusi dua serbuan di Pandan Indah dan Ampang pada Khamis. Gambar kecil: Mohamad Farouk
Sebahagian cecair dipercayai ketum dirampas polis menerusi dua serbuan di Pandan Indah dan Ampang pada Khamis. Gambar kecil: Mohamad Farouk
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas lebih 100 botol cecair dipercayai ketum menerusi dua serbuan di Pandan Indah dan Ampang pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lebih kurang jam 5 petang semalam, Ketua Polis Balai Pandan Indah, Asisten Superintendan Che Samsuddin Che Yusoff bersama anggota dalam penugasan Op Tapis Khas atau Op Bersepadu telah menahan seorang lelaki yang sedang menunggang motosikal di sekitar kawasan Pandan Indah.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan ke atas suspek merampas 11 botol plastik lutsinar berpenutup warna hijau yang berisi cecair warna perang disyaki air ketum dengan anggaran isipadu sebanyak 8.25 liter.

Katanya lagi, hasil soal siasat telah membawa kepada tangkapan kedua melibatkan seorang lagi lelaki di sebuah rumah di sekitar Ampang dan merampas dua botol plastik lutsinar penutup hijau berisi cecair warna perang disyaki air ketum dengan anggaran keseluruhan sebanyak 1.5 liter.

"Soal siasat selanjutnya telah membawa ke sebuah lagi rumah di sekitar Ampang dan polis berjaya merampas 111 botol berisi cecair disyaki air Ketum dengan anggaran isipadu sebanyak 83.25 liter.

"Hasil semakan ke atas dua suspek yang ditahan, polis mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau dan ujian urin kedua-duanya juga didapati negatif.

"Kedua-dua suspek yang berusia 25 hingga 35 tahun itu telah ditahan reman dari 17 Mac sehingga 20 Mac ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya lagi, nilai keseluruhan rampasan cecair disyaki ketum tersebut dianggarkan sebanyak RM1,200.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!