Axelsen menangis kalah di tangan Tze Yong
PEMAIN nombor satu dunia, Viktor Axelsen diselubungi emosi ketika ditemu bual media selepas dikejutkan pemain muda negara, Ng Tze Yong pada pusingan kedua kejohanan badminton Seluruh England pada malam Khamis.
Pemain dari Denmark itu sudah memberikan segala-galanya untuk menang, namun nasib tidak menyebelahinya.
“Anda mahu melakukan yang terbaik, bukan? Ya, sudah tentu. Saya berikan segala-galanya jadi sudah tentu saya beremosi,” katanya.
Axelsen yang merupakan juara bertahan mengalami kekalahan pusingan awal pertamanya musim ini setelah kalah dalam persaingan tiga set 15-21, 21-9, 21-23 di Arena Utilita, Birmingham.
Pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu memuji aksi terbaik yang dipamerkan Tze Yong dan berhak memenangi perlawanan tersebut.
“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada Ng Tze Yong. Saya fikir dia menunjukkan permainan mantap. Saya mahu lakukan yang lebih baik tetapi ia tidak berlaku.
“Dia bermain dengan baik dan saya membuat terlalu banyak kesilapan.
“Tiada apa yang perlu diperkatakan. Hanya yang menang dan kalah sahaja. Hari ini Tze Yong berhak meraih kemenangan dan malangnya bagi saya, ia tidak cukup baik,” katanya.
Terbuka Seluruh England dianggap istimewa kerana Axelsen berpeluang mempertahankan kejuaraan kejohanan badminton tertua dunia itu selepas memenanginya pada edisi lalu.
“Ia merupakan salah satu daripada kejohanan yang paling istimewa buat saya. Ia juga yang terbesar dalam kalendar pertandingan.
“Jadi saya mahu melakukan yang terbaik. Tetapi bila anda gagal, ia sudah pasti amat sukar,” katanya.
Axelsen membuka kalendar saingan musim ini dengan langkah kanan apabila mempertahankan gelaran Terbuka Malaysia, sebelum muncul naib juara Terbuka India, Januari lalu.
Musim lalu, Axelsen meraih tujuh kejuaraan bermula Seluruh England, Masters Indonesia, Terbuka Indonesia, Terbuka Malaysia, Terbuka Perancis, Jelajah Dunia Akhir BWF dan Kejohanan Dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!