Tiada pengecualian tauliah kepada tokoh agama di Negeri Sembilan

Aminuddin Harun - Foto Bernama
Aminuddin Harun - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan setakat ini tidak mengeluarkan sebarang pengecualian tauliah mengajar terhadap mana-mana tokoh-tokoh agamawan atau ulama tertentu untuk berceramah di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebaliknya mereka perlu mengikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan dengan memohon kebenaran khas yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

"Kita kena faham bahawa kuasa agama adalah berdasarkan di bawah enakmen negeri masing-masing dan kalau di Negeri Sembilan Ketua Agama adalah di bawah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan Undang Yang Empat.

"Jadi perkara tersebut harus dihormati, tidak kiralah terkenal macam mana sebab bagi saya perkara (terkenal) itu merupakan subjektif. Lebih baik kita ikut peraturan, kalau tidak ia suatu perkara yang agak sukar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai syor dan cadangan yang dikemukakan bekas menteri sebelum ini, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung isu pentauliahan ceramah agama.

Ia termasuklah cadangan agar tauliah khas turut diberikan kepada tokoh politik yang memegang jawatan dalam kerajaan Persekutuan dan negeri seperti Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, Menteri Besar dan Exco-Exco Kerajaan Negeri dengan syarat tiada isu politik kepartian disentuh.

Tauliah khas juga boleh diberikan kepada individu yang sudah dikenali akan keilmuwannya dan diperkenankan oleh raja selaku Ketua Agama Islam atau diluluskan oleh mufti negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, baru-baru ini, Negeri Sembilan menerima kehadiran dua penceramah bebas yang dikenali ramai malah ceramahnya tidak menyentuh tentang politik.

"Kita benarkan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus datang dan ketika Ustaz Wadi Annuar (Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub) beri ceramah di Sikamat (Seremban) saya pun hadir. Kerajaan negeri nampaknya tak ada masalah cuma perlu ikut peraturan (memohon kebenaran khas)," katanya.

Sebelum itu Aminuddin hadir pada Majlis Konvokesyen Kolej Yayasan Negeri Sembilan kali ke-9 di sini membabitkan seramai 580 graduan menerima sijil dan diploma masing-masing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!