Pulau Pinang tidak halang umat Islam ziarah rumah ibadat lain

Ahmad Zakiyuddin
Ahmad Zakiyuddin
A
A
A

KEPALA BATAS - Kerajaan Pulau Pinang tidak melarang mana-mana pihak untuk menyediakan program dan mengajak umat Islam melawat rumah ibadat bukan Islam di negeri ini bagi tujuan tertentu.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, Pulau Pinang mengambil pendekatan mengikut enakmen dan juga akta-akta sedia ada.

"Jadi kita melarang pelanggaran mana-mana perkara di dalam akta atau enakmen kita tentang penyebaran agama bukan Islam kepada bukan Islam.

"Namun untuk perpaduan antara masyarakat sekiranya ada pihak-pihak yang ingin membawa atau ingin menyediakan atau mengajak umat Islam melawat rumah ibadat bukan Islam untuk tujuan tertentu ia boleh dibenarkan misalnya untuk memahami ibadat orang-orang bukan Islam tetapi bukan untuk tujuan lain," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Jumaat.

Terdahulu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) hadir pada Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah dan Sumbangan Ehya' Ramadan di Kubang Menerong di sini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas sama ada Pulau Pinang akan mengikut jejak langkah Selangor yang melarang sama sekali penganjuran sebarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadah agama lain di negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin berkata, pihak penganjur program terbabit perlu merujuk kepada MAINPP terlebih dahulu sebelum melaksanakan program terbabit dan ia perlu dijalankan dalam keadaan terkawal.

Bagaimanapun, beliau berkata, individu atau badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak terlibat dengan kerja-kerja sosial serta perpaduan tidak digalakkan untuk mengadakan program sedemikian.

"Penganjur perlu rujuk dahulu dengan MAINPP dan melihat semua garis panduan termasuk perkara yang boleh serta tidak boleh dilakukan pada program terbabit.

"Saya pasti perkara ini telah ada permohonan dan panduan yang telah diberikan oleh pejabat mufti sebelum ini dan ia boleh dirujuk semula," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!