BAM bimbang prestasi Jun Hao

Jun Hao gagal menyerlah pada Masters China 2023 dan Masters Thailand 2023.
Jun Hao gagal menyerlah pada Masters China 2023 dan Masters Thailand 2023.
A
A
A

PRESTASI terumbang-ambing perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao membimbangkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apatah lagi dia diletakkan sebagai prospek emas pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja Mei ini.

Bekas juara remaja Asia itu tersingkir pada pusingan kedua - masing-masing pada Kejohanan Badminton Masters China di Ruichang, Rabu lepas dan Masters Thailand pada Februari lepas.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Wong Choong Hann meluahkan kerisauan dengan prestasi dipamerkan pemain ranking ke-71 dunia itu sepanjang saingan musim ini.

"Memang (prestasi Jun Hao) agak merisaukan kerana program serta corak latihan 80 hingga 90 peratus hampir sama untuk semua pemain. Kita juga ada buat latihan spesifik untuk setiap pemain berdasarkan keunikan dimiliki.

"Bagaimanapun, latihan itu nampaknya tidak cukup berhasil kerana dia (Jun Hao) bermain dengan baik pada penghujung tahun lepas.



"Tahun ini, belum nampak rentak tetapi kita akan cuba bantu dia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Mengulas mengenai persembahan Jun Hao di Masters China, Choong Hann berkata, barisan kejurulatihan akan berusaha mengesan setiap kelemahan yang ada untuk ditangani dengan berbaki 49 hari sebelum temasya Sukan SEA membuka tirai.

"Memang ini pertandingan yang kita masukkan untuk dia sebagai persiapan ke Sukan SEA tetapi dia tidak mempamerkan keputusan seperti diharapkan. Bagaimanapun, kita mahu melihat apa kekurangan sebelum ke Sukan SEA.

"Masih ada beberapa kejohanan lagi yang akan disertai, jadi dari sana kita akan tumpukan lagi permainan dia. Harap Jun Hao dapat pulih daripada kekurangan ini dan lebih bersedia," katanya.

Jun Hao pada tahun lepas dilihat memiliki reputasi cukup baik selepas muncul juara Masters Indonesia selain berhasil menamatkan aksi Terbuka Poland, Cabaran Antarabangsa Indonesia serta Malaysia di pusingan suku akhir.

Sukan SEA Phnom Penh di Kemboja akan berlangsung pada 5 hingga 17 Mei ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!