Pulau Batu Puteh: Rayuan kembalikan semula saman didengar 15 November

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 15 November untuk mendengar rayuan oleh seorang individu bagi mengembalikan semula samannya berhubung penarikan balik permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tuntutan Pulau Batu Puteh.

Pada hari yang sama juga, mahkamah akan mendengar rayuan Mohd Hatta Sanuri terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 30 Januari tahun lepas yang membenarkan permohonan Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia bagi perintah perlindungan supaya dokumen dalam saman itu tidak didedahkan kepada pihak yang tidak terlibat dalam kes tersebut.

Timbalan Ketua Bahagian Sivil II Jabatan Peguam Negara, Shamsul Bolhassan semasa dihubungi mengesahkan tarikh berkenaan.

Pihak-pihak yang terlibat juga dikehendaki mengemukakan hujah masing-masing pada 18 Oktober dan hujah balas pada 31 Oktober. Satu lagi pengurusan kes ditetapkan pada 1 November.

Tarikh itu ditetapkan berikutan pengurusan kes yang diadakan semalam di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Norshakinah Ahmad Kamarudin.

Pada 1 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman Mohd Hatta selepas membenarkan permohonan Perdana Menteri dan kerajaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz semasa membenarkan permohonan itu berkata perkara tersebut tidak boleh diadili dan Mohd Hatta Sanuri juga tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk membawa tindakan undang-undang terhadap defendan (Perdana Menteri dan kerajaan).

Pada 2018, Kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.

Pada 28 Mei 2021, Mohd Hatta, memfailkan tindakan saman itu mewakili dirinya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang didakwa terkesan dengan penarikan balik semakan semula keputusan ICJ oleh kedua-dua defendan tanpa membincangkan dan membentangkannya terlebih dahulu di Parlimen.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Hatta memohon perintah supaya defendan memberi penjelasan bertulis mengapa mereka menarik diri daripada semakan semula keputusan ICJ dengan tuntutan Pulau Batu Puteh terhadap Singapura pada 1 Jun 2018 sedangkan ia telah dimulakan dan difailkan sejak 3 Februari 2017.

Beliau turut memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan membayar ganti rugi kepada setiap rakyat Malaysia berdasarkan nilai tanah Pulau Batu Puteh dan berdasarkan kerugian ekonomi yang dialami seluruh rakyat Malaysia termasuk plaintif secara sama rata berjumlah paling kurang RM10 juta.

Turut dimohon perintah supaya kedua-dua defendan mendedahkan secara terperinci jumlah semua kos yang telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk persediaan permohonan semakan semula keputusan ICJ pada 3 Februari 2017 sehingga tarikh mereka menarik diri secara tiba-tiba pada 1 Jun 2018.

Semasa Mohd Hatta memfailkan saman itu, jawatan perdana menteri disandang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, selepas beliau berundur, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri kesembilan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!