Laluan kontra: Penduduk masih merungut
PETALING JAYA - Pengguna jalan raya mengakui langkah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menutup beberapa jalan dan persimpangan bagi pelaksanaan laluan kontra bermula 1 Mac lalu mengurangkan kesesakan trafik.
Ia membabitkan antara jalan dan persimpangan iaitu Persimpangan Jalan Othman-Jalan Templer, Persimpangan Jalan Gasing-Jalan Templer, Persimpangan Jalan Templer-Jalan 6/29 dan setiap bukaan median di Jalan Templer.
Namun terdapat rungutan daripada penduduk yang tinggal di kawasan sekitar kerana perlu memandu lebih jauh dari laluan asal selepas pelaksanaan laluan kontra oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Seorang penduduk, Khairul Othman,47, dari Taman Sri Manja berkata, jarak perjalanan menjadi lebih jauh apabila kenderaan dari arah Jalan Othman ke Lebuhraya Pantai Baru (NPE) perlu membuat pusingan U di Bulatan Assunta.
"Jarak Jalan Templer-Asunta lebih kurang satu kilometer dan perjalanan biasa hanya memakan masa lima minit tetapi sekarang 30 hingga 40 minit pada waktu puncak pada jam 5 hingga 7 petang.
"Keadaan (sesak) sekarang belum teruk lagi kerana sekolah belum mula, Isnin depan baru kita akan tahu bagaimana keadaan sebenarnya," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.
Seorang lagi penduduk, Sunday Rajasegaran, 37, berkata, keadaan sesak di laluan utama berkenaan berlaku ketika waktu pejabat berakhir iaitu bermula dari jam 5 petang hingga malam pada setiap hari kecuali hari minggu.
"Saya tinggal di Taman Medan, semua kena lalu Jalan Templer dan sejak dahulu lagi kawasan ini tetap 'jammed', tiada apa-apa perubahan kecuali apabila ada polis (trafik) mengawal lalu lintas baru 'jammed' kurang sikit," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Medan, Alias Hasan, 51, pula menyifatkan pelaksanaan laluan kontra bermula 1 Mac lalu adalah wajar namun tidak dapat mengatasi kesesakan sepenuhnya.
"Sebab itu, kalau minta pendapat saya saya pilih supaya laluan sebelum ini digunakan berbanding laluan kontra walaupun laluan kontra hanya dibuka selepas waktu pejabat dan pada hari tertentu," katanya kepada Sinar Harian.
Pada 18 Februari lalu, MBPJ dalam satu kenyataan memaklumkan akan menutup beberapa jalan dan persimpangan bagi pelaksanaan laluan kontra itu bermula 1 Mac dan dalam tempoh percubaan selama tiga bulan sahaja.
Sekretariat Media Unit Komunikasi Korporat MBPJ berkata, antara jalan dan persimpangan terlibat ialah Persimpangan Jalan Othman–Jalan Templer, Persimpangan Jalan Gasing–Jalan Templer, Persimpangan Jalan Templer–Jalan 6/29 dan setiap bukaan median di Jalan Templer.
Menurut kenyataan, penutupan jalan dan simpang itu hanya dibuat ketika pelaksanaan laluan kontra sahaja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!