Polis rampas dadah bernilai RM900,000, tahan dua penganggur
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dua lelaki berumur 32 dan 38 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor antara pukul 5 petang dan 9 malam.
Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua penganggur itu menjadikan rumah yang berpagar serta berpengawal sebagai stor menyimpan dadah, dan polis turut menyita kenderaan Toyota Vellfire, Proton Saga, sebuah motosikal, jam tangan dan wang tunai kira-kira RM1,730 dalam serbuan itu, yang dianggarkan bernilai RM160,430.
"Mereka mengedar jenis dadah yang dibungkus dalam paket kecil, dipercayai diedarkan untuk pasaran tempatan seperti di pusat-pusat hiburan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Jumaat.
Katanya, dadah berkenaan dijual antara RM150 dan RM350 tiap satu paket kecil.
Kamarul Zaman berkata, seorang daripada penganggur itu didapati positif dadah ketamin, dan kedua-dua mereka direman seminggu mulai Rabu lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!