Murid 11 tahun baca 252 buku
ALOR SETAR - Murid Sekolah Kebangsaan Convent Father Barre dari Sungai Petani, Nurul Syuhada Zaki Anuar, 11 tahun, menerima anugerah peminjam buku terbanyak bagi kategori kanak-kanak 2018 Negeri Kedah pada Majlis Sambutan Hari Buku Dan Hakcipta Sedunia 2019 hari ini.
Minat membaca yang ditunjukkan menyaksikannya meminjam sebanyak 252 buah buku dari Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah sepanjang tahun lalu.
"Saya minat membaca sejak umur tujuh tahun lalu dan ibu bapa selalu bawa pergi kedai buku untuk beli buku.
"Malah di rumah juga ada bilik yang dijadikan tempat letak bahan bacaan, ada tiga rak buku yang disediakan mengikut kategori buku antaranya cerita fiksyen, dongeng, atau novel," katanya kepada media di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, dekat sini.
Sementara itu, bagi pemenang anugerah peminjam buku terbanyak bagi kategori remaja 2018 dengan jumlah 86 buku, Muhammad Izzmi Hakim Shaharul Izuan, 13 tahun berkata, membaca buku menjadi antara hobi utama semasa mengisi waktu lapangnya.
Menurutnya, buku sentiasa bersamanya walau di mana berada termasuk di rumah mahupun di sekolahnya di Maktab Mahmud, Merbok, Sungai Petani.
"Membaca buku ini banyak membantu menambah pengetahuan saya di samping dapat mengulang kaji pelajaran dari masa ke semasa. Kebanyakan buku yang saya pinjam adalah dari perpustakaan sekolah dan juga perpustakaan di sini (Perbadanan Perpustakaan Awam ),"katanya.
Bagi kategori dewasa pula menjadi milik G Agilan Desvari yang meminjam buku sebanyak 196 buah manakala kategori istimewa (OKU), Jamaluddin Ramli dengan 65 buah buku pada tahun 2018.
Anugerah telah disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Teh Swee Leong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!