MPSJ bantu peniaga tambah pendapatan
SUBANG JAYA - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melancarkan portal E-Borong (www.eborong.com.my), gerbang beli-belah secara atas talian.
Program usaha sama dengan Syarikat Best Marketing & Distribution Sdn Bhd itu adalah inisiatif pembangunan usahahawan B40 untuk menjana pendapatan.
Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Zulkurnain Che Ali berkata, E-Borong membantu pengguna untuk mendapatkan barangan dengan harga lebih rendah dari pasaran.
"Pembangunan portal ini adalah medium buat peniaga khususnya di Lembah Klang untuk membuat pesanan dan pembelian secara harga borong yang menawarkan sehingga 1,000 jenis barangan asas secara atas talian.
"Selain itu, ia membantu pelanggan menikmati pelbagai barangan berjenama yang halal, bermutu dengan harga berpatutan dan menyediakan perkhidmatan penghantaran secara percuma," katanya pada Karnival Seminar Bazar Ramadan MPSJ di Taman Puchong Indah, hari ini.
Perasmiannya disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Mariah Mahmud.
Program yang berlangsung selama tiga hari itu turut melancarkan 'GO2 Bantu Sales Kekal Masyuk Lepas Raya' dengan pemberian 300 tiket menyertai seminar pemasaran produk melalui laman web secara percuma.
Dalam program sama, MPSJ mengumumkan bakal menawarkan hadiah kepada 15 peniaga contoh termasuk pengecualian bayaran permit bazar dan diberikan keistimewaan memilih tapak bazar tahun depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!