Perincikan undang-undang pengabaian warga emas

Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kebanyakan warga emas lebih rela untuk ditempatkan di pusat jagaan berbanding menetap bersama anak-anak di kediaman mereka.

Berkongsi perkara itu, Pengurus Pertubuhan Baitul Rahmah, Roslina Salji berkata, rata-rata penghuni yang dihantar ke pusat tersebut gembira dan teruja kerana boleh melakukan pelbagai aktiviti harian berbanding tinggal seorang diri di rumah anak-anak.

“Mereka dihantar oleh keluarga kerana kesibukan anak-anak dengan urusan peribadi dan pekerjaan masing-masing, ada juga yang sebatang kara dan memerlukan penjagaan khusus kerana menghidap penyakit seperti diabetes dan sebagainya.

“Bagi kami, mereka bukanlah beban kerana fungsi pusat ini adalah memberi tempat yang selesa dan menjaga mereka sehingga akhir usia, dan mereka adalah amanah yang perlu diberi kasih sayang serta perhatian setelah diabaikan oleh keluarga atau masyarakat lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dalam pada itu, Roslina berkata, cadangan kerajaan berkenaan mewujudkan Rang Undang-undang Warga Emas merupakan inisiatif terbaik bagi memberi pembelaan sewajarnya kepada golongan tersebut.

Namun ujarnya, kerajaan perlu meneliti dan memperincikan kesalahan yang dimaksudkan pengabaian tanggungjawab ekoran bukan semua ibu bapa yang dihantar ke pusat jagaan secara terpaksa.

“Ada antara mereka yang volunteer (sukarela) untuk dihantar kerana sunyi dan keseorangan ketika di bawah jagaan anak-anak. Mereka mahukan teman untuk berbual, lakukan aktiviti bersama dan belajar al-Quran.

“Jadi tidak semua yang dihantar kerana pengabaian, mereka sendiri 'serah diri' kepada pusat jagaan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!