Telur import: Ka Siong ingatkan Deepak buat laporan polis
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengingatkan sekali lagi kepada ahli perniagaan Deepak Jaikishan untuk membuat laporan polis bagi membuktikan yang dia tidak pernah menghubungi beliau berhubung isu bekalan telur import.
Tegas Ka Siong, sekiranya Deepak gagal berbuat demikian, beliau sendiri yang akan membuat laporan polis.
“Segala-galanya akan terjawab sekiranya Deepak yang membuat laporan polis. Sudah tentu pihak polis boleh siasat siapa pemilik nombor telefon bimbit itu yang menghubungi saya dan siapa yang mengaku sebagai Deepak.
"Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah mengeluarkan kenyataan rasmi pada 15 Mac 2023 serta memandang serius terhadap penyalahgunaan PMO dalam mengugut saya,” katanya dalam satu hantaran pada Jumaat.
Sebelum ini, beliau memaklumkan seorang individu mengaku sebagai Deepak mewakili sebuah syarikat telah menghubunginya dan mendakwa telah mencapai persetujuan dengan PMO supaya bekas menteri pengangkutan itu membetulkan kenyataannya berhubung isu import telur ayam dari India.
Bagaimanapun, Deepak kemudiannya tampil menafikan bahawa dia ada berbuat demikian terhadap Ka Siong.
Ka Siong kemudiannya menggesanya untuk membuat laporan polis supaya satu siasatan dapat dijalankan.
Bagaimanapun pada Jumaat, syarikat yang diwakili Deepak menyatakan yang dia ada menghubungi beliau bagi membincangkan isu kontroversi telur itu.
Perkara itu dilihat oleh Ka Siong sebagai sesuatu yang lucu olehnya.
“Jadi, siapa sebenarnya yang membuat panggilan telefon kepada saya memandangkan Deepak menafikan sebarang kaitan dengan syarikat itu?
“Adakah ini membuktikan J&E Advanced Tech Sdn Bhd membuat panggilan kepada saya dan menggelar dirinya sebagai ‘Deepak’? soal beliau.
Ujarnya, persoalan itu akan terjawab jika Deepak membuat laporan polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!