[VIDEO] Perkampungan PATI di muara sungai digempur
KLANG - Sebuah kawasan penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dibina sejak lima tahun lalu dengan menggunakan sumber air dan elektrik curi di kawasan ladang kelapa sawit di Air Hitam di sini akhirnya dibongkar dalam serbuan pada Jumaat.
Sinar Harian yang menyertai operasi itu mendapati perkampungan itu turut dilengkapi kemudahan surau dan kedai runcit selain gelanggang badminton.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi pada jam 11.30 malam itu dijalankan dengan kekuatan 195 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan 10 keanggotaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurutnya, serbuan itu berjaya menahan seramai 61 PATI warga Indonesia terdiri daripada 23 lelaki dan 20 wanita selain 18 kanak-kanak.
"Kesemua yang ditahan tidak memiliki dokumen dan hanya tujuh PATI memiliki SPLP (Surat Perjalanan Laksana Paspor) yang dikeluarkan oleh Kedutaan Indonesia untuk pulang ke negara ketika pandemik Covid-19 lalu.
"Bagaimanapun mereka tidak pulang dan terus tinggal di sini dengan bekerja di sektor pembersihan di kawasan sekitar," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Beliau berkata, ketika serbuan dianggarkan lebih 30 penghuni berjaya meloloskan diri dengan menyusuri muara sungai (Sungai Langat Kecil) berhampiran.
Katanya, terdapat 30 hingga 40 unit rumah kayu di ladang kelapa sawit tinggal itu.
"Mereka mendapatkan bekalan elektrik dan air yang dicuri. Apa yang membimbangkan tandas dibina di sepanjang sungai dengan najis serta sampah dibuang ke perairan terbabit," ujarnya.
Tambah Khairul Dzaimee, bagi menyukarkan tindakan pihak berkuasa semasa serbuan, terdapat halangan blok konkrit di laluan masuk selain jambatan yang agak uzur.
"Rumah yang dibina juga memiliki tingkap kecil yang berperanan sebagai pintu rahsia bagi membolehkan penghuni terjun keluar ketika diserbu," katanya.
Tambahnya, imigresen percaya cara kehidupan penduduk ini adalah bercucuk tanam seperti sayur, cili, pisang dan ubi kayu selain memelihara ayam kampung.
"Pemerhatian mendapati keadaan rumah kotor dan tidak layak didiami hingga boleh memberi ancaman kesihatan seperti denggi, kencing tikus dan kolera," ujarnya.
Beliau berkata, pihak imigresen juga akan menyiasat bagi mengesan siapa ketua penduduk selain kemungkinan sekiranya penempatan ini dijadikan sebagai rumah penampungan.
Dalam pada itu, JIM akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut termasuklah perobohan seperti yang telah dijalankan di Nilai, Negeri Sembilan dan Cyberjaya, Selangor manakala kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!