Waran ICC terhadap Putin adalah wajar - Biden

Joe Biden dan Vladimir Putin
Joe Biden dan Vladimir Putin
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin adalah wajar.

"Saya rasa ia wajar," kata Biden pada Jumaat.

Biden juga menyatakan bahawa walaupun ICC tidak diiktiraf oleh Amerika Syarikat, organisasi itu mendatangkan hujah yang baik untuk waran itu, lapor Sputnik.

Pada Jumaat, ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Putin serta Pesuruhjaya Hak Kanak-Kanak Rusia, Maria Lvova-Belova atas dakwaan "pengusiran yang menyalahi undang-undang" kanak-kanak Ukraine ke Rusia.

Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berulang kali menyatakan bahawa Rusia tidak tertakluk di bawah ICC dan bidang kuasanya tidak diiktiraf Moscow, jadi sebarang keputusannya terhadap negara itu adalah terbatal dari sudut undang-undang.

Sementara itu, Rusia menganggap sebarang waran dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa adalah tidak sah kerana ia tidak mempunyai sebarang bidang kuasa ke atas Rusia, kata Duta Besar Rusia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Vassily Nebenzia semasa sesi Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!