Tonik terbaik KDA FC di awal musim

Manuel Hidalgo (tengah) menjaringkan gol ketiga bagi membantu KDA FC menewaskan Kuching City 3-0 di Stadium Darul Aman pada Jumaat. FOTO KDA FC
Manuel Hidalgo (tengah) menjaringkan gol ketiga bagi membantu KDA FC menewaskan Kuching City 3-0 di Stadium Darul Aman pada Jumaat. FOTO KDA FC
A
A
A

KEMENANGAN Kedah Darul Aman (KDA) FC ke atas Kuching City FC dengan jaringan 3-0 pada aksi kelima Liga Super 2023 pada Jumaat memgembalikan semula keyakinan Sang Kenari selepas tewas dua kali berturut-turut di Stadium Darul Aman.

Pengendalinya, Nafuzi Zain berkata, kejayaan tersebut dianggap tonik terbaik di awal musim selepas mereka kini berada di tangga ketiga liga dengan 12 mata sebelum berehat dua minggu sempena Ramadan.

Menurutnya, pencapaian yang diperolehi setakat ini tetap memuaskan bagi sebuah pasukan yang baru dibentuk dan mereka masih perlu memberikan tumpuan memperkemas lagi benteng pertahanan selain mengurangkan kesilapan yang boleh memberikan ruang kepada lawan mendapatkan gol.

"Kemenangan malam ini ialah tonik terbaik untuk kita dan dua minggu berehat dapatlah pulih balik bagi mana-mana pemain cedera.

"Saya rasa daripada lima perlawanan kita kutip 12 mata, ia satu pencapaian terbaik pada awal musim kerana pasukan dan pemain baharu dibentuk. Saya rasa bersyukur.

"Paling penting kita dapat tiga mata perlawanan ini dan mendapat lebih jaringan pula adalah bonus," katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan di Stadum Darul Aman pada malam Jumaat.

Tambah beliau, Kuching City juga berjaya memberikan tekanan kepada pasukannya dengan menutup dan menafikan beberapa peluang keemasan pemainnya untuk menambah gol.

Menurutnya, pengalaman tewas kepada dua pasukan yang berada di kedudukan bawah Liga Super telah memberikan pengajaran dan pengalaman kepada pemain-pemain agar tidak mudah leka selain5 memandang rendah keupayaan lawan.

"Kita terlalu banyak peluang kita sia-siakan, mungkin perlawanan ini nampak mudah tapi bagi saya sebenarnya bukannya senang bertemu dengan Kuching City.

"Sebab saya tahu Liga Super ini berjumpa dengan pasukan bawah ke atas ke bukan senang. Sebelum ini pun kita pernah tewas dengan PDRM di laman sendiri. Jadi semua perkara ini kita belajarlah," ujarnya lagi.

Sementara itu, ketua jurulatih Kuching City, Irfan Bakti Abd Salim mahu berbincang dengan pengurusan atasan bagi menambah baik pasukan itu selepas tewas empat kali berturut-turut.

"Ini kekalahan empat kali berturut-turut rekod sejarah saya menjadi jurulatih, empat perlawanan berturut-turut ini tak ada (sepanjang jadi jurulatih) rasanya, kami pasukan baharu itu satu yang saya boleh beritahu," kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!