Program ziarah gereja batal: Penganjur pastikan keadaan terkawal
KLANG - Suasana di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, Klang, pada Sabtu terkawal dengan hanya aktiviti dalaman yang dijadualkan di rumah ibadah berkenaan selepas Projek Artikel 11 Jom Ziarah Gereja dibatalkan pihak penganjur pada saat akhir.
Wakil Impact Malaysia ketika ditemui Sinar Harian di gereja berkenaan berkata, badan bukan kerajaan (NGO) itu tetap berada di lokasi bagi memastikan tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku.
Menurut wakil NGO yang enggan dikenali itu, program berkenaan tidak berlangsung pada Sabtu susulan keputusan dikeluarkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Parlimen, baru-baru ini.
"Kita sudah berada di sini sejak pagi bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku dan akan bekerjasama dengan pihak polis bagi memastikan keadaan terkawal.
"Program ini dibatalkan selepas keputusan dikeluarkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Parlimen sebelum ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, di sini pada Sabtu.
Program berkenaan adalah inisiatif bawah Projek Artikel 11 diterajui Impact Malaysia yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Inisiatif program dikatakan bertujuan membuka minda belia Malaysia mengenai budaya dan kepercayaan pelbagai bangsa melalui lawatan serta aktiviti sukarelawan di Lembah Klang.
Selasa lalu, Hannah ketika ucapan penggulungan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat menjelaskan bahawa program berkenaan tidak membabitkan individu beragama Islam dalam aktiviti ziarah gereja.
Beliau dilaporkan berkata, program berkenaan bukan bertujuan untuk memberi gambaran semua agama yang dianuti rakyat Malaysia adalah sama rata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!