[VIDEO] Rembatan berkelas dunia, Akmal anggap rezeki
PERTAHANAN Kedah Darul Aman (KDA) FC, Akmal Zahir mengakui terkejut dengan jaringannya selepas mencuba dari luar kotak penalti pada aksi kelima Liga Super 2023 pada malam Jumaat malah penyokong turut menyifatkan gol itu sebagai rembatan berkelas dunia.
Jaringan pada minit ke-28 itu tercipta selepas bola tersebut sedikit melencong dan terus ke penjuru gawang pelawat walaupun penjaga gol Kuching City FC, Julian Garcia sudahpn melayangkan diri untuk menepis percubaan Akmal.
Penolong Ketua Pasukan KDA FC itu menganggap jaringan tersebut sebagai rezeki termasuk satu lagi jaringannya menerusi tandukan pada minit ke-49 selepas memanfaatkan hantaran sepakan sudut yang diambil oleh Lee Tuck.
"Perasaan saya sangat gembira sebab jarang-jarang dapat menaringkan gol dan malam ini dapat menjaringkan gol bantu pasukan menang.
"Saya pun terkejut bola itu (masuk gol), mungkin jadi rezeki saya bola itu masuk dan saya jaringkan dua gol malam ini," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat.
Dua jaringan Akmal membantu KDA FC keluar sebagai pemenang selepas menewaskan Kuching City 3-0 dan satu lagi gol tuan rumah dijaringkan oleh Manuel Hidalgo pada minit ke-58.
Akmal yang berusia 29 tahun dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan itu sebelum ini beraksi di posisi penyerang sebelum memilih bermain sebagai pemain pertahanan selepas bergelar pemain profesional.
"Kali terakhir saya bermain sebagai pemain penyerang semasa belajar di UiTM Perlis pada tahun 2014. Teknik untuk menjaringkan gol itu masih ada lagi tapi bila bermain di posisi pertahanan saya lebih fokus kepada bahagian saya.
"Tapi bila ada peluang saya cuba manfaatkan. Alhamdulilah bola itu masuk. Terkejut juga masuk sebab itu saya gembira sangat yang penting pasukan menang," ujar anak jati Kedah itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!