'Saya tak makan ugutan, saudara salah pilih Perdana Menteri'- Anwar
Malah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ‘mempersilakan' tindakan sedemikian walaupun ketika ini menerima pelbagai desakan, tekanan serta ugutan.
Tegas Anwar, beliau tidak gentar bahkan bersedia untuk menghadapi sebarang serangan yang direncana untuk menjatuhkannya.
“Ini gelanggang saya, empat bulan saya bersabar, saya bicara secara teratur (dan) hari ini saya bicara sebagai Presiden PKR (iaitu) gerakan reformasi. Saudara mahu ugut kita dengan mengadakan perhimpunan, ugut kita takut untuk bertindak perangi perasuah, saudara salah pilih Perdana Menteri.
“Saya tak makan ugutan itu, ada kuasa kita laksanakan, kamu cuba nak rampas (kerajaan), silakan tetapi tidak mudah (kerana) kita siap dengan keris, membujur lalu melintang patah,” katanya ketika ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 di Stadium Melawati pada Sabtu.
Dalam pada itu beliau yang juga Perdana Menteri mengingatkan, kerajaan hari ini tidak akan melepaskan sesiapa sahaja dari kewajipan membayar cukai, bahkan akan terus menjalankan siasatan sekiranya mendapati ada pihak melindungi ‘tauke’ besar daripada berbuat demikian.
“Sebab itu kita buat siasatan, konon (mendakwa) ada tindakan politik, itu bezanya selama ini kuasa politik melindungi penjenayah besar, kuasa politik melindungi perasuah besar, memperkayakan perasuah dan gunakan kuasa (politik) itu untuk melindungi dan menghentam rakyat.
“Kita akan guna kuasa itu untuk melindungi rakyat dan menyerang perasuah. Kumpulkan Tan Sri - Tan Sri dan tauke besar ini, (ada) beberapa kerat orang yang merencana untuk menggugat, menggunakan sentimen perkauman, mengajak orang Melayu benci kepada kaum-kaum lain, menyatakan kuasa (Melayu) hilang.
“Kamu pegang tampuk kuasa termasuk kerajaan tiga tahun baru-baru ini, mana dia RUU 355, mana projek peningkatan dana untuk Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah. Belanjawan tahun ini yang meningkatkan jumlah kewangan untuk negeri-negeri itu,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!