Sebahagian peruntukan untuk pemasangan jambatan Bailey - TPM
BAGAN DATUK - Sebahagian peruntukan tambahan RM150 juta yang diumumkan kerajaan pada Jumaat akan digunakan bagi pemasangan jambatan Bailey di kawasan terjejas banjir di Johor.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemasangan jambatan berkenaan adalah bagi menghubungkan laluan-laluan yang terputus akibat banjir.
"Setakat ini di kawasan Parlimen Sekijang, ahli Parlimennya memaklumkan keperluan beli jambatan itu.
"Jawatankuasa peringkat daerah juga mengkoordinasikan agar jalan-jalan yang terputus ini akan dipasang jambatan balik sebelum pembaikan dan juga menaik taraf jalan-jalan dilakukan sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata demikikan kepada pemberita pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk pada Sabtu.
Media melaporkan kerajaan meluluskan peruntukan tambahan RM150 juta bagi usaha pemulihan meliputi program dan projek pasca banjir khususnya di Johor.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan segera melaksanakan kerja-kerja pasca banjir di 15 sekolah yang telah dikenal pasti terjejas dalam bencana itu.
"Kita mengkoordinasikan usaha pasca banjir antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan daerah.
"Apabila banjir telah surut sepenuhnya, kerja-kerja pembersihan dilakukan bagi membolehkan pelajar-pelajar sekolah ini mengikuti persekolahan," katanya.
Menurut beliau, banjir 'termenung' sedang berlaku di lima daerah negeri itu.
"Banjir ini akan surut kerana luruan hujan tidak akan berlaku lagi dan pemasangan pam-pam penyedut air untuk sedut air banjir ke sungai atau laut sedang dijalankan. Terdapat penambahan pam-pam berkuasa tinggi di kawasan rendah.
"Usaha untuk pengagihan wang ihsan juga telah dilaksanakan sepenuhnya walaupun terdapat dua atau tiga kes terpencil, ini kita akan diselesaikan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!