Maritim sita bot bawa penumpang tanpa lesen

Tekong dan semua penumpang dibawa ke jeti Maritim Malaysia di Patau-Patau dan dibebaskan pada hari sama. - Gambar hiasan
Tekong dan semua penumpang dibawa ke jeti Maritim Malaysia di Patau-Patau dan dibebaskan pada hari sama. - Gambar hiasan
A
A
A

LABUAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menyita sebuah bot kargo membawa tujuh penumpang pada kedudukan 0.4 batu nautika dari Pulau Papan pada JUmaat.

Pengarah Maritim Labuan, Kapten Nudin Jusoh berkata, bot yang tidak berlesen itu ditahan oleh bot peronda semasa Op Sejahtera dan Op Khas Kuda Laut kira-kira jam 10 pagi.

"Ketika pemeriksaan rutin terhadap bot dan kapal di sekitar perairan Labuan, kami memintas sebuah bot kargo kecil yang mencurigakan dengan beberapa orang berada di atas bot.

"Pemeriksaan lanjut mendapati bot kargo itu melakukan kesalahan di bawah Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) kerana membawa penumpang tanpa lesen,” katanya pada Sabtu.

Kegagalan mana-mana pemilik, penyewa, nakhoda atau ejen kapal untuk memiliki lesen sah ialah satu kesalahan dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Nudin berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, penumpang terdiri daripada enam rakyat Malaysia dan seorang warga Filipina berumur antara 29 hingga 45 tahun menaiki bot itu yang dikendalikan tekong berumur 33 tahun yang gagal mengemukakan lesen sah untuk membawa penumpang.

Beliau berkata, tekong dan semua penumpang dibawa ke jeti Maritim Malaysia di Patau-Patau dan dibebaskan pada hari sama.

"Kami mengingatkan semua pemilik dan tekong bot agar sentiasa mematuhi prosedur dan peraturan sedia ada di laut, penumpang juga perlu memastikan mereka menggunakan pengangkutan laut yang sah supaya keselamatan mereka terjamin,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!