Pemilihan UMNO: Calon tewas jangan merajuk - Mahdzir

Mahdzir (kanan) memasukkan kertas undi dalam kotak undi pada pemilihan UMNO Bahagian Padang Terap di Naka pada Sabtu.
Mahdzir (kanan) memasukkan kertas undi dalam kotak undi pada pemilihan UMNO Bahagian Padang Terap di Naka pada Sabtu.
A
A
A

KUALA NERANG - Calon Naib Presiden yang tewas dalam pemilihan UMNO dinasihatkan kembali sebagai satu pasukan dan meneruskan perjuangan parti khususnya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, individu yang gagal dalam perebutan jawatan Naib Presiden diharap tidak meninggalkan parti atau merajuk dengan beralih arah kepada parti lain.

Menurutnya, pemilihan UMNO adalah persaingan sihat sesama ahli keluarga besar bagi meraikan demokrasi dalam parti bukannya untuk memecah-belahkan keharmonian dalam parti.

“Kepada kepimpinan yang bertanding, yang dapat tempat tahniah, yang tidak dapat tempat hendaklah teruskan perjuangan dan tetap bersama parti.

“Tak payahlah merajuk, nak lari, keluar parti atau sebagainya. Bersatu dan teruskan perjuangan bersama, insya-ALLAH parti ini boleh bertahan dan ada masa depan,” katanya ketika ditemui meninjau perjalanan Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka pada Sabtu.

Mahdzir antara lapan calon merebut jawatan Naib Presiden UMNO, selain penyandang jawatan berkenaan, iaitu Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Calon lain termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi,) Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Turut bertanding Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad serta Mohd Yusof Musa@Jamaludin yang merupakan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri.

Mengulas mengenai pandangan penganalisis yang melihat peluang untuk Johari, Mohamed Khaled dan Azalina dikatakan lebih berpotensi walaupun berdepan saingan sengit dalam persaingan jawatan Naib Presiden, Mahdzir menyifatkan ia sebagai adat pertandingan.

“Semua calon telah kemukakan idea dan pandangan masing-masing berhubung hala tuju jika dipilih perwakilan. Sekarang terserah kepada 190,000 perwakilan di seluruh negara untuk tentukan.

“Sebagai ahli parti yang sudah lama membawa perjuangan parti, saya akan terus berada dalam perjuangan ini dan terus membantu parti. Kita harus ada semangat yang tinggi untuk kukuhkan parti,” ujarnya.

Mahdzir berkata, ahli di semua peringkat harus kembali bersatu selepas pemilihan selesai untuk mengukuhkan setiap bahagian berdepan saingan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada Jun atau Julai depan.

“Sudah pasti di mana ada pemilihan dalam sistem demokrasi, ada yang kalah dan menang. Anggaplah yang menang tak menang semua, yang kalah tak kalah semua.

“Elok sekiranya kita lihat kembali untuk kukuhkan bahagian masing-masing dan kumpulkan kekuatan dalam parti untuk berdepan PRN di enam negeri,” jelasnya.

Tambahnya, gerakan UMNO diyakini akan lebih mantap selepas pemilihan yang disifatkan sebagai tempoh untuk mengecas kembali semangat UMNO.

“Pemilihan terakhir pada 2018, pemilihan ini ibarat ‘recharge’ parti. Kombinasi pemimpin lama dan baharu akan bergabung menjadi satu pasukan yang positif serta dinamik untuk kita teruskan perancangan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!