'Kita doakan kesembuhan buat Ustaz Azhar Idrus' - Abdul Hadi
SHAH ALAM - Menziarahi orang yang ditimpa kesakitan atau kemudaratan merupakan salah satu hak seorang Muslim terhadap saudaranya yang lain.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, beliau bersama anaknya, Muhammad Khalil telah pergi ke hospital bagi menziarahi Ustaz Azhar Idrus setelah dikhabarkan mengenai perkembangannya.
Ujar beliau, Ustaz Azhar Idrus merupakan antara tokoh pendakwah terkenal yang diminati ramai terutamanya dalam kalangan anak-anak muda.
“Dikhabarkan kepada kami, Ustaz Azhar Idrus diuji dengan kesakitan. Saya ditemani oleh anakanda, Muhammad Khalil menziarahi beliau di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
“Marilah kita mendoakan kebaikan dan kesembuhan buat Ustaz Azhar Idrus,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sebelum ini, perkembangan mengenai penceramah bebas itu yang dilaporkan dimasukkan ke hospital dikongsikan beberapa pemimpin di Terengganu serta turut tular di media sosial.
Menurut Exco Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI itu dimasukkan ke hospital sejak Selasa lalu selepas mengadu kurang sihat.
Wan Sukairi berkata, tahap kesihatan Ustaz Azhar Idrus bertambah baik selepas menjalani rawatan di hospital berkenaan.
Susulan itu, pada Sabtu, Abdul Hadi turut melawat pendakwah popular tersebut yang dimasukkan ke hospital berkenaan akibat masalah kesihatan.
Pemimpin itu meluangkan masa melawat Ustaz Azhar yang dipercayai menerima rawatan akibat mengalami masalah kesihatan melibatkan paru-paru.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!