PRN: PKR ada tapak kukuh, sedia pimpin enam negeri
SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah bersedia untuk memimpin enam negeri yang bakal menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ketua Angkatan Muda, Adam Adli Abd Halim berkata, PKR sudah mempunyai tapak dan penguasaan kukuh di beberapa negeri lain selepas Pilihan Raya umum ke-15 (PRU15) lalu, dan kini hanya perlu menyebar luas kekuatan itu ke Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.
“Hari ini kita berhimpun untuk memberi ‘signal’ yang jelas (kepada) bukan sahaja parti lawan tetapi rakyat bahawa PKR sudah bersedia untuk memimpin semula negara ini di peringkat negeri yang bakal berhadapan dengan PRN tidak lama lagi.
“(Contoh) Selangor bukan baru setahun dua kita tadbir, (begitu juga) Pulau Pinang yang sudah sekian lama kita jadi sebahagian kerajaan negeri. Kita sudah buktikan dengan banyak program-program yang tidak boleh dibandingkan dengan negeri lain dari segi pencapaian, kualiti, penyampaian dan manfaat yang diterima oleh rakyat.
“Saya yakin sebagai antara parti yang memerintah negara, kita boleh lakukan bersama, beri peluang kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar ibrahim) menggariskan dasar-dasar beliau, beri perhatian kepada apa yang dibawa, ini adalah tanggungjawab kita bersama.
"Ini bukan hanya pesanan tetapi peringatan kepada mereka yang memegang amanah di peringkat kerajaan,” katanya pada sesi penggulungan Kongres Nasional Khas PKR 2023 di Stadium Melawati pada Sabtu.
Dalam pada itu Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan mengingatkan para pemimpin parti untuk sentiasa memberi kerjasama baik dan melupakan persengketaan lama bagi memastikan proses menghadapi PRN negeri berjalan lancar.
Justeru ujarnya, ahli parti tidak boleh bekerja dalam keadaan 'silo' malah mengajak pemimpin peringkat akar umbi dan ketua-ketua cabang untuk bekerja bersama.
“Kalau sebelum ini kadang-kadang kita tergigit lidah, bersaing, berselisih, berbeza pendapat dan sebagainya, perkara ini sudah diuraikan beberapa bulan yang lepas menerusi pemilihan.
“Hari ini kita bukan lagi pembangkang tetapi kerajaan. Penilaian (terhadap) kita bukan lagi siapa yang ditampilkan tetapi jenama yang dijual, bukan semata-mata kepada wajah yang diangkat sebagai ikon parti, tetapi membuktikan sebagai kerajaan yang mampu jaga kepentingan rakyat dan selain pastikan kepimpinan dan pengurusan negara dibuat dengan baik.
“Perlu diakui berhadapan dengan PRN akan datang, kita masih perlu memperbaiki banyak perkara dan (ambil kira) keluh kesah yang banyak disuarakan pimpinan akar umbi bagi memastikan perancangan oleh kerajaan sampai dan dinikmati oleh orang kebanyakan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!