'Pas kini tidak sama seperti era Nik Aziz'
SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa kepimpinan Pas kini tidak seperti ketika di era Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau mendakwa, parti tersebut kini dilihat giat memainkan sentimen agama dan perkauman yang hanya menjadi titik tolak terhadap kebencian dalam kalangan masyarakat di negara ini.
“Mereka bercakap tentang soal bersih dan stabil seolah-olah mereka itulah suci, namun politik hakikatnya mereka penuh dengan mengeji dan mencerca, itulah realiti yang berlaku kini.
“Hadirin sekalian, kita tolak kebencian, corak politik begini tidak ada tempat di negara ini.
"Saya menyeru kepada semua ahli politik kita untuk berasa apologetik dengan jati diri kesederhanaan kita,” katanya semasa ucapan penggulungan Kongres Khas Nasional PKR di Stadium Melawati pada Sabtu.
Kongres yang bertema Malaysia Madani: Pelaksanaan sebuah Idealisma dirasmikan oleh presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berpandangan bahawa Kelantan dan Terengganu sepatutnya mempunyai pentadbiran lebih baik berbanding sekarang.
Beliau bagaimanapun menyatakan sekiranya kedua-dua negeri itu tidak dapat ditawan oleh parti tersebut bersama rakan gabungan lain daripada Pakatan Harapan (PH), pihaknya akan berusaha menjadi pembangkang terbaik.
Ujarnya, isu bekalan air bersih yang selama ini membelenggu Kelantan kini akan diselesaikan sedaya upaya.
“Perdana Menteri kita pada hari ini adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan Tun Dr Mahathir, kalau Mahathir dia ada politik dendam, pembangkang memang dia tidak fikir,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!