Perpecahan, sabotaj punca UMNO kalah teruk PRU15 di Perak
LENGGONG - Tindakan sabotaj sesama sendiri dikenal pasti antara faktor utama kekalahan teruk UMNO di Perak dalam memenangi kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dapatan tersebut diperoleh menerusi laporan-laporan bedah siasat yang dilakukan apabila UMNO hanya mampu menguasai sembilan daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.
Menurutnya, perpecahan dalaman juga menyebabkan kegagalan UMNO mempertahankan kerusi dimenangi sehingga satu tahap ada yang sanggup menghabiskan kempen menyerang atau menjawab tohmahan dari dalam parti sendiri.
"Berat untuk saya rungkaikan, namun inilah antara asbab kekalahan kita. Dalam keadaan pihak musuh menyerang dari segenap arah, sebaliknya ada dalam kalangan kita yang berantakan sesama sendiri.
"Malah ada yang berkomplot untuk memastikan calon parti tewas sehingga akhirnya memberi kemenangan kepada pihak musuh. Ya, amat pahit untuk menelan hakikat ini, namun itulah realiti yang menjadi antara punca kita terbungkam rebah," katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara Lenggong di sini pada Sabtu.
Saarani berkata, selain itu kekalahan itu juga disebabkan kegagalan dalam pertarungan di alam maya apabila pihak musuh berjaya menanam kebencian di platform media sosial mempengaruhi orang muda menolak UMNO.
Beliau juga mengakui kegagalan membaca dan menyelami aliran pemikiran anak-anak muda turut menyumbang kepada kekalahan UMNO di Perak walaupun parti itu menampilkan visi yang kuat untuk orang muda di dalam manifesto.
Dalam pada itu, Saarani yang juga Ketua UMNO Bahagian Lenggong menjelaskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan negeri Perak dibuat selepas peranan besar diberikan kepada UMNO untuk keluar dari kemelut politik.
Menurutnya, kerjasama yang terjalin juga mengembalikan UMNO ke jalan sederhana dengan keanggotaan pentadbiran kerajaan negeri melambangkan kemajmukan sekaligus menjamin keharmonian berkerajaan.
Jelasnya, faktor survival UMNO juga difikirkan dalam membuat keputusan membentuk kerajaan bersama dengan PH itu bukan sahaja untuk jangka masa pendek tetapi panjang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!