Warga emas tinggal seorang diri maut dalam kebakaran
LIPIS - Seorang lelaki warga emas ditemukan maut dalam keadaan melecur akibat kebakaran di sebuah rumah di Kampung Paya Keladi di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, mangsa, Yusof Kindok, 77, tidak sempat menyelamatkan diri dan ditemui lima meter dari rumah tersebut.
Menurutnya, Ketua Balai Polis Merapoh menerima panggilan telefon daripada orang awam kira-kira jam 5 petang memaklumkan kejadian sebuah rumah terbakar di kampung terbabit.
"Mangsa yang tinggal seorang diri disahkan meninggal dunia dan temui di luar rumah," katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa meninggal dunia akibat melecur sebahagian badan dalam kebakaran itu yang menyebabkan kemusnahan 100 peratus.
Jelas beliau, seramai lapan anggota dan dua pegawai bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis dikerahkan ke tempat kejadian.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!