'Kenyataan mahu jatuhkan kerajaan adalah angkuh'
SHAH ALAM - Kenyataan pemimpin pembangkang yang mahu ‘merampas’ kerajaan Persekutuan di luar pilihan raya disifatkan sebagai angkuh.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, golongan berkenaan sanggup melanggar titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berharap Kerajaan Perpaduan dapat dikekalkan sehingga penghujung penggal.
"Ketika ditanya, anda (pembangkang) terus-terusan menyebut mahu mengambil alih kerajaan, bukankah titah Tuanku semasa perasmian Parlimen meletakkan harapan untuk penggal kerajaan sempurna, cukup lima tahun.
"Dengan kenyataan kamu akan terus berusaha mengambil alih (Kerajaan Persekutuan) di luar daripada musim pilihan raya, adakah ini seolah-olah tidak menerima nasihat Tuanku? Maka disanggahnya (dengan menyatakan) pandangan Tuanku bukan penamat, bukan kata putus.
"Ini nada angkuh, kerana terlalu angkuh sampai tidak ada sesiapa boleh menegur lagi," katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional Khas PKR 2023 di Stadium Melawati pada Sabtu.
Dalam pada itu Saifuddin Nasution berkata, pembangkang akan berterusan melakukan apa sahaja untuk menyanggah tindakan dan pendekatan kerajaan dalam usaha membantu rakyat.
“Kerana keghairahan nak sanggah (dan) dah habis (idea), hatta pendekatan Kerajaan Perpaduan nak menoktahkan kemiskinan pun, (pembangkang) cari hujah, gali, korek, akhirnya kata dalam agama tidak boleh menoktahkan kemiskinan.
"Itu merupakan aliran songsang yang ‘hijack the true teaching of Islam’ (merampas ajaran Islam yang sebenar), kita kena betulkan lagi sekali pandangan songsang ini," tegasnya.
Sementara itu beliau yang juga Menteri Dalam Negeri dilihat mengambil kesempatan pentas kongres berkenaan untuk memerli beberapa pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan tidak pernah berdepan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.
“Belum pernah dalam sejarah Parlimen, perdana menteri berdepan dengan sesi soal jawab dan sejak presiden menjadi PM, saya nak sebut tiada sekali pun Ketua Pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainudin), Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Marang (Tan Sri Abdul Hadi Awang) berdepan dengan PM.
“Parlimen tempat ‘check and balance’, memantau dasar kerajaan, berdebat dan hujah. Saya perhatikan dah beberapa minggu Ketua Pembangkang tidak muncul, Pagoh entah ke mana, Marang juga tidak kelihatan bayangnya.
“Di luar kamu hero, kamu jaguh bela agama, bangsa. Tempat berdebat dalam Parlimen, kamu tidak sanggup berdepan, bertarung sebagai anak jantan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!