Kerajaan Perpaduan warisi 'rumah rosak' - Rafizi

Rafizi menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Nasional Khas 2023 di Stadium Malawati hari ini. - Foto Bernama
Rafizi menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Nasional Khas 2023 di Stadium Malawati hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyifatkan Kerajaan Perpaduan mewarisi sebuah pentadbiran yang mempunyai banyak kerosakan serta perlu diperbetul.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi memberi analogi bahawa Kerajaan Perpaduan seolah-olah mewarisi sebuah ‘rumah’ yang mempunyai banyak kerosakan yang diakibatkan oleh ‘penghuni’ sebelum ini.

"Tiang dimakan anai-anai, lantai berlubang dan rapuh, atap ada berlubang sebahagiannya...sebelum itu atap berlubang kerana ditebuk, bil air dan bil api penghuni lama tak bayar sehingga kena potong,” katanya dalam Ucapan Penggulungan Timbalan Presiden pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 di sini hari ini.

Rafizi berkata, keadaan itu mendatangkan cabaran berbeza dan baharu buat Kerajaan Perpaduan dalam hasrat untuk membantu rakyat menerusi dasar kerajaan yang mampan.

"Cabaran itu datang sekali gus dalam keadaan kedudukan dan capaian kewangan kita terhad, maksudnya kita kena buat pilihan.

"Kalau kita warisi rumah sebegini, pada masa ini adakah kita nak bayar tunggakan bil supaya ada api atau elektrik dulu, atau besar kemungkinan kita perlu baiki tiang yang dimakan anai-anai atau buat pilihan nak hidup dengan lantai atau atap berlubang,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun menerusi pelbagai program dan inisiatif Kerajaan Perpaduan yang mula membuahkan hasil, rakyat semakin dapat membezakan antara kerajaan sekarang dengan pembangkang yang hanya pandai mempertikaikan usaha kerajaan membaiki kerosakan dilakukan pentadbiran sebelum ini.

Sementara itu, Rafizi turut yakin Pakatan Harapan (PH) masih menerima tahap sokongan positif dalam kalangan pengundi Melayu terutama anak muda, berdasarkan fakta dan data terkini yang disemaknya sendiri menerusi keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.

Beliau berkata, sememangnya berlaku peralihan jumlah undi yang besar kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRU15, namun ia cuma di kawasan tertentu sahaja dan bukannya di seluruh negara.

"Tengok secara keseluruhan terutama negeri yang menjadi kekuatan kita (PH) di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, apabila kita bandingkan tahap sokongan pengundi Melayu dalam 2022 (PRU15) berbanding 2018 (PRU14) sebenarnya tiada perbezaan yang besar.

"Contohnya, sokongan pengundi di Selangor adalah lebih 40 peratus di kawasan sebelah timur pada 2022 malah pada 2018 juga lebih 40 peratus dan ada peralihan (undian) besar di pantai barat Selangor tapi ia lebih daripada UMNO kepada PN. Bukannya PH yang hilang undi,” katanya dan menambah keadaan sama juga dilihat berlaku di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Justeru, Rafizi menepis dakwaan pihak pembangkang yang yakin dapat mengambil alih pentadbiran di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang daripada PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!